Rimas! Rimas! Rimas dengan berita-berita terkini. Tidak kira dari mana datangnya sumber berita tersebut. RTM, TV3, NTV7, 8TV( banyak lagi-tak tersenarai di sini) atau yang bercetak semuanya merimaskan saya. Semuanya gara-gara pilihanraya umum ke-12 menjelang 8 Mac ini. Salah satu amalan demokrasi akan dilaksanakan kewajipannya oleh sebahagian rakyat Malaysia yang layak. Namun, masih ramai yang layak belum berdaftar dan ada juga siang-siang lagi menyatakan hasrat untuk tidak mahu mengundi. Tidak tahu menghargai erti demokrasi. Tetapi yang merimaskan saya sekarang juga orang yang tidak tahu erti demokrasi dengan pendekatan menggunakan sepenuhnya media milik rakyat untuk kepentingan parti mereka sahaja.
Biar saya berterus terang agar dapat melegakan sedikit perasaan rimas saya. Sejak parlimen dibubarkan, BN begitu sekali ditonjolkan sebagai parti harapan rakyat. Sebaliknya parti-parti lawan seperti PAS, PKR, DAP dan lain-lain pula sebagai penjenayah besar yang akan memusnahkan negara jika dipilih rakyat dalam pilihanraya nanti. Pada pandangan media-media utama, parti-parti lawan ibarat MAFIA yang sedang menunggu masa untuk melakukan pembunuhan besar-besaran. Hak sebagai parti yang sah dan mendapat kebenaran bertanding dalam pilihanraya dinafikan sama sekali. Pada masa sama, label parti kerajaan dan parti pembangkang masih terus digunakan padahal 7 hari lalu parlimen telah dibubarkan. Semua pihak sepatutnya mendapat layanan yang sama sebagai parti politik yang mendapat hak dari perlembagaan untuk menubuhkan kerajaan sekiranya menang dalam pilihanraya. Malangnya selepas 50 tahun merdeka dan pernah melalui 11 kali pilihanraya, ia masih belum mematangkan suasana politik negara. INIKAH HASIL PENTADBIRAN KERAJAAN BN seperti yang dibanggakan selama ini? Ataupun ia disengajakan dengan anggapan rakyat Malaysia adalah sejenis spesis yang BODOH dan TAK SEMPAT berfikir. Kalau begitu, sedarlah wahai rakyat Malaysia bahawa selama ini kerajaan BN meletakkan kita di tempat paling hina di sisi mereka. BN bukan sahaja MEMBODOHKAN KITA tetapi juga MENGANGGAP KITA BODOH. Maka jalan terbaik untuk mengajar keangkuhan BN ialah dengan memberi undi kepada lawannya sebagai tanda PROTES.
Sesungguhnya tulisan ini bukan mewakili mana-mana parti. Saya pasti akan menghormati semua parti yang bertanding dengan syarat mereka juga menghormati demokrasi yang dijamin perlembagaan negara. Selain itu, sebagai salah seorang rakyat Malaysia dan sebagai pengundi saya juga menuntut hak saya untuk mendapatkan berita yang adil supaya saya dapat membuat penilaian yang tepat ke atas calon dan parti yang akan saya undi. Malangnya, sejak saya berkenalan dengan politik kira-kira 20 tahun yang lalu dan sudah tiga kali mengundi saya telah dinafikan hak itu. Keinginan untuk mendapatkan hak itu sempena pilihanraya yang keempat buat saya sekali lagi diketepikan oleh pihak yang sama yang tidak pernah mempedulikan orang-orang seperti saya. INILAH YANG MERIMASKAN SAYA.
Sampai bila saya perlu menanggung perasaan rimas ini. Tolonglah saya dan orang-orang seperti saya. Mari bersama kita lakukan sedikit perubahan bagi melenyapkan keangkuhan yang telah menutup ruang untuk kita mendapatkan keadilan.
SELAMAT MENGUNDI.
Ulasan