Roslan dan Shahril adalah rakan sepermainan zaman kanak-kanak. Mereka tinggal dalam satu kawasan kejiranan. Ketika keduanya dalam Tingkatan Tiga, Shahril dibawa bapanya berpindah. Pada mulanya mereka masih berhubungan melalui surat namun lama kelamaan tiada lagi khabar berita dari keduanya.
Pagi itu Roslan benar-benar terkejut apabila disapa oleh orang yang sudah lama tidak dihubunginya. Sekian ditenungnya sahlah orang itu tidak lain melainkan teman lamanya, Shahril. Sebaik bertanya khabar, tahulah Roslan bahawa Shahril sudah lama bermastautin di negeri ini. Sementara Roslan pula membawa keluarganya ke sini untuk ber'cuti-cuti Malaysia'. Ternyata Shahril tidak pernah melupakan keakrabannya dengan Roslan. Buktinya Roslan diajak menginap di rumahnya. Walaupun pelawaan Shahril ditolak, dia tetap berkeras mahukan Roslan menginap di rumahnya sambil menyatakan kesediaannya sekeluarga melayan sahabat yang sudah lama tidak ditemuinya. Akhirnya Roslan mengalah lalu menerima ajakan Shahril.
Selama berada di rumah Shahril, ada sesuatu yang merunsingkan Roslan. Sahabatnya itu dilihat seperti mengabaikan solat. Malah ketika ditanya arah kiblat pun, Shahril teragak-agak memberitahunya. Shahril yang dikenalinya dulu sudah berubah hari ini, fikir Roslan. Shahril dulu rajin ke surau. Shahril dulu selalu datang awal ke surau dan mengumandangkan azan setiap kali masuk waktu solat terutamanya maghrib dan isyak.
Malam itu mereka berdua duduk minum teh sambil bercerita kisah-kisah lama. Sesekali ketawa mereka memecah suasana hening malam. Setelah agak lama bersembang, Roslan cuba beralih kepada perkara yang merunsingkan fikirannya. Ternyata jangkaannya tepat. Shahril sudah biasa meninggalkan solat fardu.
Roslan lantas menasihati rakannya itu. Dengan nada lembut, diingatkan Shahril tentang kewajipan mengerjakan solat fardu dan azab bagi mereka yang meninggalkannya. Roslan menyedari nasihatnya tidak disenangi Shahril dari cara sahabatnya itu bereaksi. Bimbang kemungkinan timbul sesuatu yang buruk, Roslan minta izin untuk tidur.
Baru setengah jam Roslan melelapkan mata, pintu biliknya diketuk orang dan kedengaran suara Shahril memanggilnya dari luar. Sebaik Roslan membuka pintu bilik, dia ternampak sepuluh lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai jabatan agama negeri. Roslan kemudian dihampiri oleh salah seorang dari mereka lalu dimaklumkan tentang tujuan kedatangan mereka untuk menangkapnya kerana menyampaikan ceramah agama dalam premis persendirian tanpa TAULIAH.
Rupa-rupanya Shahril di atas sifatnya sebagai seorang rakyat negeri ini yang patuh kepada undang-undang telah melaporkan kesalahan sahabatnya itu kepada pihak berkuasa agama. Manakala Roslan pula diberitahu Shahril tentang reaksi kurang senangnya tadi bukan kepada ceramah Roslan tetapi kerana perbuatan Roslan melanggar peraturan agama negerinya.
Roslan kemudian di bawa pergi untuk disiasat dan diambil keterangannya. Ketika itu barulah Roslan sedar, rupa-rupanya dia berada di sebuah negeri yang penuh dengan pantang larang.
Ulasan