Langkau ke kandungan utama

Fitnah terhadap Dr. Asri

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan beberapa NGO Islam telah menghantar memorandum membantah perlantikan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohamad Asri Zainal Abidin sebagai YDP YADIM yang baru. Memorandum tersebut telah dihantar kepada DYMM Yang Di Pertuan Agung. Namun apa yang sangat dikesali adalah alasan yang dikemukan untuk menyatakan bantahan tersebut serta keseluruhan kandungan memorandum tersebut adalah FITNAH dan berniat jahat.
Berikut adalah kandungannya:

1. NGO-NGO Islam arus perdana yang terlibat dengan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) kelolaan YADIM sentiasa bekerjasama di dalam menegakkan dakwah Islamiyah di Malaysia. Hanya beberapa NGO kecil sahaja yang dapat menerima idea bahtera perubahan yang cuba dibawa oleh Dr Asri yang seringkali tidak seiring pandangannya dengan sebahagian besar ulamak dan NGO-NGO Islam arus perdana. Kerajaan sepatutnya menghormati kerjasama MAIM di bawah naungan YADIM yang telah dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Pelantikan Dr. Asri hanya akan memutuskan tali silaturrahim yang terjalin dan MAIM akan pincang sekiranya Dr Asri menerajui YADIM.

2. Dr Asri yang terpengaruh dengan pandangan dan pendekatan ulamak tertentu juga seringkali bertentangan pandangan dengan para ulamak dan Mufti-Mufti negeri lain. Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri telah mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Semasa menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis beliau kerapkali membelakangkan pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat Kebangsaan dan sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media. Keadaan ini akan menyukarkan YADIM dan MAIM untuk bergerak sekiranya tiada hubungan erat dengan Mufti-Mufti.

3. Dr Asri mendakwa dirinya dan pengikut-pengikutnya sebagai ahlu-sunnah tetapi mereka menolak dan tidak mengiktiraf kebanyakan ulamak dan umat Islam lain yang di luar dari lingkungan pengikutnya. Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari.

4. Pendekatan Dr Asri dan para pengikutnya telah mencetuskan berbagai perbalahan di kalangan umat Islam apabila mengkritik berbagai amalan umat Islam di Malaysia kononnya ia tidak mengikut sunnah seperti amalan membaca Yaa Sin pada malam Juma’at, amalan bertalqin, tahlil, doa selamat, seolat hajat, wirid selepas solat. Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka. Bahkan akibat dan malapetaka yang bakal timbul dari pendekatannya ini amatlah besar sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam. Malapetaka ini sewajarnya dibendung dan bukan disemarakkan lagi.

5. Akibat dari pendekatan ekstrem Dr.Asri dan pengikutnya ini kebanyakan Majlis Agama Islam Negeri-negeri telah menyekat kegiatan pengajian yang dijalankan oleh mereka. Malah beberapa guru agama dan penceramah yang sealiran dengan mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah Syariah kerana mengajar tanpa tauliah. Antaranya Dr. Abdullah Yasin yang menghadapi beberapa kes di negeri Selangor.

6. Dr Asri hingga kini mempertikaikan undang-undang jenayah Syariah negara serta mentafsirkannya tidak mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak yang diterima para Ulamak dan masyarakat Islam. Dengan melantik seorang yang berpandangan dan pendekatan seperti ini, ia akan melenyapkan keyakinan dan kepercayaan umat Islam bukan sahaja kepada YADIM malah kepada kerajaan keseluruhannya atas kegagalan memelihara ajaran dan amalan Islam yang dipegang selama ini.

7. Pendekatan ekstrem Dr.Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umat Islam di seluruh Negara khususnya di negeri Perlis. Imam-imam di Perlis yang tidak mendokong aliran Dr Asri telah diketepikan malah baru-baru ini mereka telah ditukarkan atas alasan yang sama (berita-berita sebegini telah tersiar di dalam akhbar-akhbar utama negara). Cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahan dan beberapa kejadian pergaduhan.

8. Sebagai seorang yang terlalu muda serta gagal menghayati budaya adab sopan umat Islam di malaysia, Dr Asri lebih banyak mengundang kontroversi dan merupakan seorang yang keras, elstrem serta tidak dapat menerima teguran, pandangan dan kritikan orang lain. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri lain selain Perlis, Tokoh-tokoh agama arus perdana termasuk semua para Mufti Negeri-negeri (kecuali Perlis) serta tokoh-tokoh seperti Prof.Datuk Dr.Ismail Ibrahim, Tan Sri Syeikh Ghazali b Abd Rahman bekas Ketua Pengarah JKSM, Dato’ Hashim b.Yahya bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Nooh Gadot dan ramai lagi amat tidak senang dengan pendekatan dan pendirian sebegini.

9. Penolakkan oleh sebahagian besar tokoh agama dan umat Islam terhadap pemikiran dan pendekatan beliau dalam amalan agama adalah kelemahan besar Dr.Asri dan amat tidak sesuai untuk menerajui sebuah agensi dakwah yang ditunjangi oleh Kerajaan Malaysia. Peribadi yang lebih berhemah dan memahami manhaj dan metodologi dakwah di Malaysia adalah lebih wajar menerajui YADIM.Terdapat ramai lagi tokoh lain yang tidak kontroversi yang datang dari golongan Muslim arus perdana yang boleh dilantik menerajui YADIM dan diterima oleh masyarakat Islam arus perdana.

10. Dr Asri bukan sahaja ditolak oleh majoriti penyokong UMNO, malah beliau juga tidak disenangi oleh penyokong PAS yang merupakan 2 parti umat Islam terbesar. Hanya segelintir dari masyarakat Islam yang berpendirian ekstrem dalam hal furu’ atau perkara cabang yang gembira dengan pemikiran dan pendekatan beliau. Kami bimbang Kerajaan Persekutuan akan disisihkan oleh umat Islam dalam kegiatan keagamaan dan amalan keagamaan yang seragam dan telah sebati di seluruh Negara tidak lagi menjadi arus perdana di masa akan datang, manakala Pihak Berkuasa Agama Negeri mengambil pendekatan berbeza dari Kerajaan Persekutuan.

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Ditandatangani oleh:Mohamad Isa bin Abd RalipPresiden PGSM
Bertarikh 12 Oktober, 2009

Badan-Badan Bukan Kerajaan Yang Menyokong Memorandum ini:
1. Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Malaysia
2. Yayasan Sofa Negeri Sembilan
3. Yayasan Jenderami
4. Pertubuhan Muafakat Masyarakat Sejahtera (MUAFAKAT)
5. Persatuan Peguam Syarie Malysia
6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia
7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
9.Jemaah Islah malaysia (JIM)
10. Persatuan Ulamak Malaysia
11. Yayasan Paksi Kedah
12. Persatuan Ulamak Kedah
13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

Ulasan

Pang5 berkata…
Kenyataan Ustaz Rasyid Idris, Presiden Institut Al Qayyim (IQ):

Assalamualaikum.

1. Kita tidak akan rasa hairan kalau memorandum itu setakat ditandatangani oleh yayasan-yayasan tarekat seperti yang tersenarai dalam memorandum itu. Kalau depa nak tuduh dan fitnah lebih dahsyat dari itu pun kita boleh jangkakan. Apalah sangat yang nak dibisingkan.

2. Tapi kita sangat kesal dan kecewa apabila ia ditandatangani oleh beberapa NGO Islam yang kita sangka boleh buat kawan dan termasuk dalam golongan cerdik pandai.

3. Lebih mengguris lagi...dalam perjalanan menghadiri sidang media Dr. Asri semalam, ana sempat menghubungi seorang pimpinan besar salah sebuah NGO yang tersenarai. Bila disoal siapa yang draf memorandum itu, teman ini menjawab: "PGSM dan JIM". Bayangkan waktu Presiden JIM ziarah Dr. Asri hari Khamis lepas bagi menjelaskan alasan bantahan perlantikan itu, tidak sepatahpun dia sebut tentang isi memorandum fitnah tu.

4. Ana belum mengambil keputusan untuk mempercayai apa yang teman ini sebut dan ana juga tidak berminat untuk menuduh membuta tuli. Ia bukan manhaj kita. Tapi oleh kerana hal ini dah disebut, ana minta sesiapa di sini yang berkaitan dengan pihak JIM agar dapat kiranya meminta penjelasan sebenar dari mereka. Juga...jika benar bagai didakwa, mohon pula pendirian JIM negeri (khasnya Penang). Dengarnya JIM Perlis ada keluar statement berlepas diri.

5. IQ akan mengeluarkan kenyataan rasmi tak lama lagi (mengambil kira reaksi pihak-pihak terbabit) berhubung isu ini khususnya mengenai hubungan dan kerjasama dengan pihak-pihak yang tersenarai dalam memorandum fitnah itu. Pendirian ana senang saja: "nak berkawan kita buat cara berkawan".

Harap disebarkan dengan jujur dan amanah.
TokTam berkata…
Maaf cakap. Sepatutnya orang yang mengaku cerdik sebab ada phd kena buat penambahbaikkan bukan menghalang orang beramal dengan amalan sunnah yang diwarisi daripada ulama muktabar yang sanadnya sampai kepada Rasulullah SAW dengan membidaahkan segala amalan. Kalau tak mau buat jangan halang orang lain buat sebab ada nas yang hampa tak jumpa tapi ulama dah lama jumpa sebab tu ada amalannya. Carilah jalan macam mana nak perbanyak amalan yang boleh menghampirkan diri kepada Allah SWT yang boleh disampaikan kepada umat Islam hari ni. Kadang-kadang kita dok nampak tang orang saja yang tak betui, tapi diri kita sendiri tak pernah nampak...
Azridul berkata…
Terima kasih di atas komen. Kepada Tok Tam, berhati-hatilah bila mengaitkan amalan masyarakat dengan sunnah Rasul dan kononnya sampai sanad kepada Rasul. Rasul ada bersabda, "sesiapa yang mendustakan aku dengan sengaja, akan disediakan tempatnya dalam neraka"

Kalau setakat di sebut dalam kitab2, tak semestinya amalan itu ada sanadnya. Lihatlah komen al-Iraqi ketika membahaskan kitab Ihya' Ulumuddin karangan al-Imamal Ghazali. Contoh dalam solat Raghaib, al-Iraqi membidas pandangan Imam al-Ghazali. Untuk pengetahuan Tok Tam, al-Iraqi adalah guru kepada Ibn Hajar al-'Asqalani.

Menghampirkan diri kepada Allah bukan dengan banyak amalan tetapi cukup dengan amalan yang sedikit tapi istiqamah dan amalan yang pasti sahih.

Maafkan saya, Tok Tam. Bukan niat nak mengajar Tok Tam yang bijaksana ni.
Azridul berkata…
Kalau pun membantah, mengapa perlu sampai memfitnah. Tak taulah kalau fitnah orang pun ada sanadnya sampai ke Nabi.

Kalau pun berbeza pendapat, biarlah hujah lawan hujah. Bukan hujah lawan fitnah.

Hujah pun kena ada bukti bukan setakat 'ada orang kata'. Macam setengah orang bila beramal dia kata 'ada orang buat'.

Siapa buat? 'Tok guru kita dulu buat.' Inikah yang dikatakan sanad?

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...