Langkau ke kandungan utama

Keterbukaan di Surau al-Muhtadin

Sudah lebih sebulan surau al-Muhtadin dibaik pulih melepasi tempoh sebulan seperti dijanjikan kontraktor yang mengendalikannya. Kelihatan dari jauh seolah-olah baru dilanda tsunami. Ketika projek membaik pulih baru di laksanakan para jamaah masih boleh bersolat di penjuru-penjuru tertentu. Dan terkini garaj motor pula menjadi tempat kami berjamaah. Itu pun hanya waktu maghrib dan isyak saja.

Saya mula merindui saat-saat manis bersama teman-teman jamaah dan tidak sabar untuk kembali merasai suasana seperti dulu. Surau al-Muhtadin memang tempatnya kami berkumpul bukan sekadar bersolat jamaah malah turut ber'jamaah' dalam aktiviti-aktiviti lain. Bahkan kalau ada kenduri walimatul urus sekalipun masak memasak juga dikendalikan di surau. Terkini kami sedang menantikan kelulusan menubuhkan Rukun Tetangga dan surau al-Muhtadin bakal dijadikan pusat kegiatan. Ia pasti melibatkan juga kalangan jiran-jiran non muslim dan ini bukanlah halangan untuk mereka beraktiviti di surau kerana polisi kami tidaklah seperti masjid dan surau di Selangor yang menghalang orang-orang bukan Muslim memasuki kawasan masjid dan surau.

Sememangnya keterbukaan menjadi prinsip dan amalan kami. Pada Pilihanraya Kecil Bukit Selambau yang lalu, surau menerima tetamu dari kalangan orang-orang besar negara. Pertama dikunjungi Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin dan kali kedua dikunjungi S/U Politik Presiden UMNO (ketika itu masih Timbalan Perdana Menteri), Dato' Sahalan Nasution. Kami menerima kunjungan dengan hati terbuka dan layanan mesra walaupun kebanyakan kami ber'kepala' hijau. Hasilnya, itulah RM50,000.oo dan terlaksana projek baik pulih surau.

Keterbukaan kami tidak juga berkisar persoalan politik semata malah melibatkan soal cara beramal khususnya ibadah sebahagian daripada kami. Seperti lain-lain tempat di Malaysia, sebilangan besar dari kami tetap meneruskan amalan warisan turun temurun seperti tahlil, doa selamat, baca yasin malam Jumaat, sambutan Nisfu Syaaban dan sebagainya. Saya antara orang yang berkecuali kerana yakin amalan-amalan tersebut tiada nas yang boleh dijadikan rujukan dan saya juga percaya mereka yang beramal perkara-perkara demikian pun tidak pernah ambil peduli dengan soal nas sebaliknya hanya mengikut apa yang orang lain pernah buat. Saya pernah ditanya mengenainya dan menjawabnya dengan pendirian yang saya yakini. Saya kira tanggungjawab menyampaikan dan menerangkan sudah selesai.

Tetapi saya sama sekali tidak pernah menganggu andai ada pihak yang mahu berbuat demikian walaupun kedudukan saya sebagai Naib Pengerusi surau mewajarkan saya bertindak. Sampai sekarang tidak ada pihak yang bermasam muka kerana adanya perkara-perkara tersebut dalam masyarakat atau kerana ada pihak seperti saya yang selalu tidak bersama dalam majlis-majlis sepertinya.

Ketika bersolat jamaah, selaku makmum saya mengikut semua perbuatan imam selagi ia dibenarkan dalam solat. Selepas solat saya menunggu berzikir dan mengangkat tangan berdoa bersama-sama imam dan jamaah yang lain. Bila tiba pula giliran saya sebagai imam, kami berzikir dan berdoa secara bersendirian dan tiada pula yang menyaringkan suara zikir mereka. Begitulah halnya solat subuh. Ketika saya menjadi makmum saya menurut di belakang imam yang membaca qunut dan tidak pernah saya sujud mendahului imam ketika imam sedang berqunut. Bila tiba giliran saya sebagai imam, saya tidak membaca qunut dan makmum di belakang mengikut perbuatan saya. Tidak ada yang berhenti membaca qunut atau bersujud sahwi di hujung solatnya. Selain itu, tidak ada yang pernah mempersoalkan saya membaca fatihah dengan memperlahankan bacaan 'basmalah'. Bukankah dalam hal ini Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda, "sesungguhnya seseorang imam dijadikan untuk diikuti...."(maksud dari ringkasan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud)

Kerana itu kami sangat terbuka. Dan semua ini tidak akan berlaku melainkan dengan adanya perbincangan dan perbahasan secara terbuka dan berjalan dalam suasana harmoni dengan dada dan fikiran yang lapang serta penuh keterbukaan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...

Benarlah kata Imam Syafi'e

Petang semalam saya sekeluarga makan di Kedai nasi kandar Husain. Memang popular kedai ini bagi masyarakat sekitar Sungai Petani tak kira Melayu, India atau Cina. Anak saya, minta nasi dan seketul ayam tandori berharga RM4.50. Besar saiznya lalu saya fikir boleh makan untuk tiga orang. saya pun minta supaya ketul ayam itu dipotong. Tahu apa kata pekerjanya? " Tak ada benda nak potong ." Tu dia, sikit punya besar kedai, pisau nak potong ayam pun tak ada! Selepas makan kami singgah di kedai buku Hasani. Saja nak tengok buku-buku baru. Khabarnya buku terbaru Kang Abik sudah di pasaran. Sedang asyik meninjau buku-buku di rak, telinga sempat menangkap perbualan seorang lelaki dengan dua orang perempuan muda. Tak pasti bagaimana saya boleh tertarik dengan perbualan mereka cuma suara lelaki itu sangat kuat dan boleh didengari seluruh kedai. Mulanya saya fikir lelaki tersebut salah seorang pekerja di situ sebaliknya bukan. Tapi dua wanita itu memang pekerja di situ melihat kepada t...