Langkau ke kandungan utama

Kerja-kerja manusia bacul!

Semalam saya bercadang untuk menulis bagi menyatakan rasa kesal di atas memorandum bantahan yang dikemukakan oleh mereka yang mendakwa sebagai NGO's Islam yang dikepalai oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berkaitan cadangan melantik bekas Mufti Perlis, YBhg Dr. Mohamad Asri sebagai YDP YADIM yang baru. Cadangan yang dikemukakan kerajaan Malaysia itu dijangka mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agung, Tuanku Sultan Mizan.

Oleh kerana tubuh berasa agak lemah, saya tangguhkan sementara hasrat itu dengan harapan ada pihak yang segera bangkit menjawab memorandum yang jelas berunsur fitnah di samping sebagai percubaan menjatuhkan maruah Dr. Asri. Bahkan ia juga boleh dilihat sebagai satu usaha untuk menyekat dan melemahkan kumpulan-kumpulan pendokong tajdid di negara ini.

Namun berita yang saya dengar pagi ini begitu mencabar kesabaran. Ia seperti mahu menunjukkan ada kerjasama yang erat antara beberapa pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam usaha menyekat pengaruh tajdid yang sedang pesat berkembang. Sebagai yang dimaklumi JAIS antara yang paling kuat fobianya dengan perkembangan ini. Penagkapan Dr. Asri bukanlah yang pertama. Sebelum ini mereka pernah menahan Al-Fadhil Ustaz Dr. Abdullah Yasin atas dakwaan yang sama iaitu mengajar agama tanpa tauliah.

Sangat menghairankan jika tauliah dijadikan alasan untuk menyekat usaha dakwah kepada masyarakat. Tauliah hanyalah pemberian manusia. Sedang dakwah adalah hak semua pihak mendapatkannya. Apakah JAIS sedia menanggung dosa penyebab kepada kejahilan masyarakat? Hakikatnya bukan dakwah yang mahu disekat tetapi kebenaran yang mahu disembunyikan. Seandainya ilmu yang disampaikan dapat membangkitkan kesedaran beramal dengan agama yang benar lagi tulen tanpa pencemaran atau campur aduk dengan adat dan tradisi, ia bukan sahaja mengubah kefahaman masyarakat bahkan menyebabkan banyak pihak yang akan hilang kepercayaan orang ramai terhadap mereka. Akibatnya banyak pihak yang akan hilang sumber pendapatan. Itulah yang ditakuti dan digeruni.

Berbalik kepada memorandum bantahan, jelas kandungannya penuh dengan fitnah dan tuduhan jahat. Mengapa perlu sampai demikian kalau pun membantah perlantikan Dr. Asri sebagai YDP YADIM yang baru. Berbeza pendapat tiada salahnya. Sepanjang mengenali dan mengikuti pengajian bersamanya, beliau sangat terbuka dan bersedia menerima pandangan orang lain. Namun harus diakui selalunya pandangan beliau sering didasari dengan hujah dan nas yang kukuh sehingga sukar untuk kita menolaknya. Maka kepada pihak yang tidak bersetuju dengannya cubalah kemukakan alasan yang kukuh. Atau sudah habiskah hujah hingga terpaksa menabur fitnah?

Sungguh saya berasa kesal di atas kejadian yang berlaku. Tambahan lagi JAIS yang walaupun kini di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan EXCO yang menjaganya pula dari PAS, rupanya ia masih belum berubah. Kalau tak silap saya, Datuk Dr. Hasan Ali juga pernah disekat daripada menyampaikan ceramah agama ketika JAIS di bawah pentadbiran UMNO dulu. Manakala antara NGO's yang terlibat sama bersekongkol dengan PGSM adalah sangat saya hormati pendirian dan pendekatan mereka dalam menangani isu-isu peringkat nasional dan antarabangsa. Amat malang sekali pertubuhan yang diwakili oleh manusia-manusia kategori professional tapi tindak laku mereka tidak membayangkan hal sebenarnya. Ayuh, kemukakan bukti seandainya segala tuduhan yang dilemparkan itu benar. Dalam dunia yang dikelilingi kecanggihan teknologi, tuduhan kosong itu hanya menyebabkan orang tertanya-tanya, adakah mereka ini sebenarnya lawyer atau kaki loyar buruk.

Saya percaya Dr. Asri bukan seorang yang mudah mengaku kalah. Ini bukan ujian pertamanya malah lama sebelum ini beliau sering dijadikan bahan maki hamun pihak-pihak yang tidak sehaluan dengannya. Tapi lihatlah suasana hari ini. Semakin hari semakin ramai orang yang tertarik dengan idea tajdidnya. Sesungguhnya kebenaran tidak boleh dihalang. Gelombangnya akan melemaskan sesiapa saja yang cuba menentang. Justeru kebenaran bukan suatu yang patut dilawan tapi diikuti dan disokong habis-habisan. SEMOGA ALIRAN TAJDID DI MALAYSIA AKAN TERUS BERJAYA.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...