Sebut saja ada majlis bacaan yasin tak kiralah di masjid, surau atau di rumah sama kenduri arwah atau sambutan Maal Hijrah atau malam Jumaat atau Nisfu Syaaban atau apa saja pasti akan berduyun-duyun orang menghadirinya. Begitu rapatnya hubungan orang kita dengan yasin dan begitu mahirnya orang kita membaca yasin sampai ada yang mampu membacanya tanpa melihat mashaf.
Sempena bulan Ramadan, surau menganjurkan majlis tadarus quran. Puas diumum, jenuh diajak tapi penyertaannya malah jauh lebih sedikit dari majlis bacaan yasin. Boleh dibilang dengan jari tangan tak perlu tambah dengan jari kaki. Orang kita lebih berminat dengan surah yasin berbanding membaca keseluruhan al-quran. Atau mungkin kerana terlalu kerap dan biasa membaca yasin sehingga tidak menyedari ada surah lain dalam al-quran selain surah yasin. Mungkin orang-orang kita perlu diingatkan dalam quran ada sejumlah 114 surah dan surah yasin hanya salah satu daripadanya.
Bagi menggambarkan betapa rapatnya hubungan orang Melayu dengan surah Yasin, suka saya memasukkan semula posting yang bertarikh 24 April 2008 yang bertajuk Orang Melayu dan Yaasin.
Malam Jumaat baca Yaasin.
Sambut Ma'al Hijrah baca Yaasin.
Nisfu Syaaban baca Yaasin.
Sambut Maulid Nabi pun ada yang baca Yaasin.
Anak hendak ambil periksa, baca Yaasin
Bila lulus periksa, baca Yaasin
Esok ada temuduga, baca Yaasin.
Sudah dapat kerja, alhamdulillah, syukur! Baca Yaasin.
Hendak ke Mekah mengerjakan haji, baca Yaasin.
Balik dari Mekah, sudah jadi Haji, baca Yaasin.
Baru-baru ini, kempen pilihanraya. Solat hajat dan baca Yaasin.
Selepas menang buat kenduri kesyukuran, baca Yaasin.
Orang sakit dibacakan Yaasin.
Bila dah meninggal dunia, 'dihadiahkan' Yaasin...... kononnya.
Begitulah sinonimnya orang Melayu dan Yaasin.
Nanti bila ditanya generasi Melayu Islam akan datang, "ada berapa surah dalam al Quran?" Jawab mereka, "satu!"
Apa dia yang satu itu.
Mereka menjawab secara serentak, "YAASIN".
Ulasan
Saya fikir hal ini ada kaitan dengan kerangka psikologi melayu yang 'kurang berpandangan jauh', simplistik,tidak sabar dan tidak berjiwa besar.
Yaasin adalah simple, cepat selesai dan ada 'sesuatu' yang boleh diraikan seusai bacan Yaasin. Taddarus Ramadhan ambil masa dan sesuatu yang sering dijanjikan ada di akhirat. Jauh lagi tu!
masalahnya, orang lebih gemar membaca yasin kerana mewarisi amalan orang2 lama yang terpengaruh dengan hadis2 daif dan mauduk.