Rasanya belum terlewat untuk mengucapkan tahniah kepada YB Lim Soo Nee, ADUN Kulim yang dilantik ke jawatan EXCO menggantikan YB Radhi Salleh. Saya mengenalinya sejak tahun 2004 lagi walaupun beliau tidak mengenali saya. Pada tahun 2004 beliau dipilih sebagai calon PKR untuk bertanding di DUN Sidam dalam Parlimen Sungai Petani. Beliau kemudiannya telah membuka bilik gerakannya di Kampung Batu Dua. Oleh kerana ketika itu petugas-petugas PKR Bahagian Sungai Petani lebih tertumpu kepada DUN Bakar Arang yang diwakili oleh EN. Johari Abdul (sekarang MP Sungai Petani dan bergelar Datuk), YDP PAS Sungai Petani, Dato' Muslim telah mengarahkan cawangan Batu Dua membantu YB Lim berkempen. Maka beraraklah pemuda-pemuda cawangan Batu Dua masuk keluar kampung, mengusung calon ke sana ke mari atas semangat Barisan Alternatif. Malah boleh dikatakan hampir 100 % jentera kempen beliau datang dari pihak PAS cawangan Batu Dua dan MTD Sidam. Dari bab makan minum hatta bab agen tempat mengundi. Saya sendiri meminjamkan salah satu komputer peribadi dan ditempatkan di bilik gerakannya untuk urusan semakan daftar pengundi.
Itulah serba sedikit coretan masam manis yang masih kekal diingatan sebahagian petugas-petugas pilihanraya PAS cawangan Batu Dua. Tahniah sekali lagi buat teman lama yang tak mungkin masih ingatkan saya. Semoga cemerlang di posisi baru selaku anggota EXCO kerajaan Kedah.
Ulasan