cBermula 4 petang tadi segala persiapan untuk majlis ibadah korban yang akan dilangsungkan esok diatur. Sementara menanti ketibaan lembu-lembu korban dari Bukit Selambau, persiapan dilakukan di perkarangan Surau al-Muhtadin dengan memasang khemah-khemah serta mengeluarkan peralatan dapur dari stor surau. Segalanya berjalan lancar sehinggalah lembu-lembu yang akan dikorbankan esok sampai kira-kira jam 6.30 petang seperti dijanjikan. Persiapan berakhir apabila semua lembu ditambat. Insya Allah majlis bermula jam 7 pagi esok.
Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang memberi kerjasama ketika melakukan persiapan petang tadi.
Gambar-gambar sekitar persiapan petang tadi.
Pagi tadi pula kami sekeluarga berhari raya di kampung isteri di Bandar Bharu, Kedah. Sudah empat tahun saya tidak beraya (raya pertama) di kampung. Ini kerana saya mengambil tanggungjawab mengurus surau bagi solat Eid sama ada Eidul Fitri mahupun Eidul Adha termasuk meyampaikan khutbah.
Selain ber-Eidul Adha kami turut menyambut ulang tahun ke-6 anak ke empat saya, Ahmad Anwar. Sejak kelmarin tak henti-henti mulutnya yang dah memang becok mengingatkan tentang hari lahirnya mungkin bimbang kami terlupa.
Sayangnya kami tak dapat lama di kampung memandangkan saya perlu segera balik bagi persediaan majlis korban. Jam 10.30 pagi kami sudah mula bertolak. Tak sempat jalan-jalan sekitar kampung.
Buat semua saudara mara dan penduduk kampung Tebuk Mat Rashid, Selamat Hari Raya Eidul Adha.
p/s: Menarik juga khutbah yang disampaikan khatib di masjid tadi. Kalau tak silap saya teksnya disediakan Majlis Agama Islam Kedah. Kandungannya mengingatkan tentang pengorbanan dan perjuangan yang perlu dilakukan secara berterusan sehingga tertegak agama Allah di muka bumi. Memang sejak PAS dan PR memerintah Kedah, khutbah setiap Jumaat pun sangat memberangsangkan. Sepanjang saya berkhutbah pada hari Eid, tidak pernah saya membaca teks majlis. Saya lebih selesa dengan teks yang saya taip sendiri.
Ulasan