Langkau ke kandungan utama

Jama' Solat kerana kenduri

Kelmarin sehari suntuk saya di rumah Pak Teh yang mengadakan walimah menyambut kehadiran menantu sulung mereka. Bila dah kenduri maklum sajalah. Tak cukup kaki bergerak ke sana ke sini. Budaya Melayu yang terpelihara sehingga hari ini dalam melayan tetamu yang terdiri dari kawan rakan dan sanak saudara.

Meriahnya rumah Pak Teh kerana kawasan perumahannya seperti sebuah kampong yang mengekalkan konsep bergotong royong menyediakan masakan dan alatan walimah. Kerana itu bukan Pak Teh saja yang berpeluh tetapi jiran dan saudara yang turut membantu melayan tetamu khususnya pada waktu puncak.

Along dah solat Zohor?” Tanya Pak Teh. “Ni baru ambil wuduk nak solat.” Kata saya. Jam dah 3.30 petang. “Nak solat pun tak dan(sempat). Orang ramai.” Kata Pak Teh lalu ke bilik air untuk berwuduk. Memang ramai jemputan.

Bagi yang terdidik dengan agama ia bukan masalah untuk meninggalkan majlis sementara mendirikan solat. Tidak kurang juga yang berijtihad mengqadakan solat. Paling dahsyat langsung tidak solat. Golongan kedua dan ketiga jelas dosanya walaupun solat diqada. Tiada alasan untuk mengqadakan solat bagi mereka yang mengadakan kenduri. Hanya yang terlupa dan tertidur sahaja yang layak. Apatah lagi meninggalkan terus tanpa rasa bersalah. Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam,

فإذا نسي أحد صلاة أو نام عنها فليصلها إذا ذكرها
Maksudnya "Maka apabila seseorang lupa solat atau tertidur, hendaklah ia melakukannya apabila ia telah sedar atau terjaga."

Namun Islam sebagai agama rahmat didatangkan dengan pakej kemudahan untuk umatnya. Sesuai dengan sebuah hadis Baginda Rasul sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud, "Sesungguhnya ad-din itu mudah......". Dan firman Allah dalam surah al-Baqarah yang bermaksud, "....... Allah mahukan kamu mendapat kemudahan dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran". (al-Baqarah:185).

Tidak ramai yang menyedari Islam membenarkan umatnya menjama'kan solat mereka untuk memudahkan umatnya meneruskan urusan-urusan tertentu atau dalam waktu-waktu tertentu. Mungkin perlu dijelaskan di sini, menjama'kan solat bukan bererti mengqasarkan solat juga kerana syarat qasar solat hanya kepada orang yang bermusafir. Sebaliknya banyak sebab yang membolehkan solat dijama' tanpa qasar.

Imam Nawawi rahimahullah dalam Syarah Muslim menyebut: "Beberapa Imam membolehkan jama' solat bagi yang tidak bermusafir bila ada sesuatu kepentingan asalkan ia tidak dijadikan kebiasaan." Ia diperkuatkan lagi dengan ucapan dari Ibn 'Abbas radhiallahu 'anhu dan diriwayatkan Imam Muslim,

جمع رسول الله صلى الله عليه وسلم بين الظهر والعصر وامغرب والعشاء بالمدينة في غير خوف ولا مطر قيل لإبن عباس مل ذا أراد بذلك؟ قال أراد ألا يخرج أمته

Maksudnya: "Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pernah menjama'kan solat Zohor dan Asar serta Maghrib dan Isya' di Madinah. Bukan kerana ketakutan atau hujan. Lalu ditanyakan orang kepada Ibn 'Abbas: Kenapa Rasulullah berbuat demikian? Katanya: Baginda tidak mahu menyukarkan umat-Nya. (Fiqh Sunnah Jilid 2 edisi terjemahan Bahasa Indonesia pada muka surat 227)

Dalam hal ini sama ada tuan walimah yang sibuk melayan jemputan atau pasangan pengantin yang disiap disolek boleh bersandarkan kepada hadis di atas. Cara yang terbaik ialah dengan menjama'kan solat secara jama' ta'khir iaitu mendirikan solat dalam waktu kedua. Dengan kata lain mengerjakan solat zohor dan asar dalam waktu asar.

Biasanya kalau jam sudah 5.00 petang petugas-petugas sudah mula runtuhkan khemah dan kehadiran jemputan beransur surut. Bolehlah tuan rumah minta laluan untuk bersolat.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...

Benarlah kata Imam Syafi'e

Petang semalam saya sekeluarga makan di Kedai nasi kandar Husain. Memang popular kedai ini bagi masyarakat sekitar Sungai Petani tak kira Melayu, India atau Cina. Anak saya, minta nasi dan seketul ayam tandori berharga RM4.50. Besar saiznya lalu saya fikir boleh makan untuk tiga orang. saya pun minta supaya ketul ayam itu dipotong. Tahu apa kata pekerjanya? " Tak ada benda nak potong ." Tu dia, sikit punya besar kedai, pisau nak potong ayam pun tak ada! Selepas makan kami singgah di kedai buku Hasani. Saja nak tengok buku-buku baru. Khabarnya buku terbaru Kang Abik sudah di pasaran. Sedang asyik meninjau buku-buku di rak, telinga sempat menangkap perbualan seorang lelaki dengan dua orang perempuan muda. Tak pasti bagaimana saya boleh tertarik dengan perbualan mereka cuma suara lelaki itu sangat kuat dan boleh didengari seluruh kedai. Mulanya saya fikir lelaki tersebut salah seorang pekerja di situ sebaliknya bukan. Tapi dua wanita itu memang pekerja di situ melihat kepada t...