Langkau ke kandungan utama

Mengharap Rahmat Tuhan


Mengharap Rahmat Tuhan
oleh: Abu Anwar al Alifi


Perlahan dia membuka matanya. Rengek si kecil menghentikan mimpi indah semalam. Seketika dia beralih ke arah si kecil sebelum matanya tertancap tepat ke jarum jam. Memang masa tidak pernah menunggu manusia dan manusia pula seperti sengaja tidak mengendahkan kehadirannya. Lalu terkeluar ayat lazim "masa mencemburui kita". Subuh masih panjang, fikirnya. Sempat lagi kalau nak layan-layan kepala. Fikirannya melayang mengingati peristiwa semalam. Dia terkhilaf lagi.

Sudah berulang kali dia terjerumus ke dalam dosa itu. Sudah berkali-kali juga dia beristighfar menyesali keterlanjurannya. Dan pagi ini dia menyesal lagi. Sungguh-sungguh menyesal. Ahhh, sama seperti dulu. Buat kemudian menyesal kemudian ulang lagi. Dia dimarahi diri sendiri.

Segalanya dilupakan. Lupa pada Allah yang sentiasa memandangnya. Lupa kepada malaikat yang mengawalnya di kiri dan kanan. Lupa pada pesan guru. Dan paling menyedihkan dia lupa siapa dirinya. Hilang malunya pada Allah, pada malaikat, pada makhluk-makhluk yang mendampinginya dan pada dirinya sendiri.

Dan pagi ini dia benar-benar malu. Malu pada Allah, pada malaikat, pada masyarakat yang selama ini sangat menghormatinya dan dia sangat malu pada dirinya.

Mengapa semalam aku tidak terfikir tentang malu? Dia mengutuk dirinya sendiri.

Dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Sampai bila-bila. Dia bingkas bangun dari tempat beradunya. Segera ke bilik air membersihkan tubuh dan berwuduk. Dalam solatnya nanti, dia mahu sujud lama-lama mohon diampunkan dosa semalam dan dosa-dosa sebelumnya. Dia mahu baca al Ma’thurat, istighfar banyak-banyak, baca penghulu istighfar seperti kata Ybhg Dato’ Ustaz Ismail Kamus dan baca al-Quran satu juzuk. Dia yakin Allah Maha Pengampun. Itu yang diajar gurunya.

Kata-kata Ustaz Jalal menjadi motivasi untuk segera berhenti dari terus terpesong mengikut jejak syaitan. ”Tiada dosa yang tidak diampun Allah.” Masih terngiang-ngiang nada penuh hikmah Ustaz muda itu. Seperti embun mengalir mendinginkan hati yang mendengarnya. ”Biar dosa sebesar mana pun, Allah akan mengampunkannya dengan syarat hambaNya itu benar-benar berazam untuk tidak mengulanginya dan menyesal serta bersungguh memohon keampunanNya.” Masih jelas di ingatannya butir-butir perkataan yang keluar dari bibir yang sentiasa mengukir senyum itu. Riak yang sentiasa tenang tidak pernah menghampakan dengan kuliah yang mengajak orang ramai mendekati penciptanya dan membuang walau secalit perasaan buruk sangka padaNYA.

Kepala paip dipulasnya. Lantas tubuhnya disapa dingin air. Kedinginan air bercampur dengan kedinginan hembusan nipis bayu yang masuk melalui celah tingkap bilik air meresap hingga ke tulang. Dia menggigil kesejukan.

Masihkah ada lagi maghfirah Allah? Dia ragu.

Mengapa tidak. Dia gesit menghambat keraguan itu jauh-jauh. Keraguan itu kemahuan syaitan. Seakan Ustaz Jalal sedang bercakap dengannnya.

Azan subuh berkumandang dari surau menghentikan bicara lawwamahnya. Dia mahu segera ke surau. Mungkin sunat qabliyyah subuh dapat meredakan ketegangannya. Tidak sampai lima minit menapak, kakinya sudah pun menjejak lantai surau Al-Firdaus. Jamaah masih belum ramai. Tuan Imam mungkin sedang dalam perjalanan. Mengharap semoga dosa semalam diampun Allah, solat sunat diusahakan sebaik mungkin. Usai solat, istighfar diulangnya berkali-kali. Takut dan harap bersilih ganti.

Tuan Imam masuk. Belakangnya Ustaz Jalal. Dia tersenyum. "Lepas solat nanti aku mesti jumpa ustaz."

Bingkas bilal mengalunkan iqamah. Dan "Allahu Akbar". Bergema suara jamaah mengikuti takbiratulihram imam. Suara merdu Tuan Imam membantu dia menumpukan perhatian pada solatnya.

Selesai solat, dia segera keluar menanti Ustaz Jalal di luar surau. Dia tahu Ustaz Jalal tidak berlama-lama dalam wiridnya. Dia mahu segala yang membelit dan berkelintar sekitar mindanya segera terurai. Jangkaannya tepat. Sebentar kemudian, ustaz bangun meninggalkan tempat sujudnya. Cepat-cepat dia mendapatkan ustaz Jalal lalu menceritakan ghaflahnya walaupun tidak menyebutnya secara khusus. Di depannya adalah seorang ustaz bukan seorang paderi untuk diceritakan perbuatannya dari A hingga Z.

Seperti selalu senyuman Ustaz Jalal tidak pernah lekang dari bibirnya. Ahh... hadis itu lagi. Dia seperti kali pertama mendengarnya. ”Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya: maka Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya: maka Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Sabda Nabi: "Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya". (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). Dengan hadis itu, Ustaz Jalal mohon izin untuk pergi. Ada kerja, katanya

Dan pagi itu ketika sedang menikmati sarapan, dia menerima satu SMS. Ustaz Jalal nama pengirimnya. Terpampang di skrin PDAnya sebuah hadis kudsi yang bermaksud, "Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku datang kepadamu dengan penuh keampunan." (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Semoga dikekalkan hidayah Allah buat aku. Dia pun mengaminkan doanya sendiri.


Abu Anwar al Alifi
1.05 am
14 Rabi'ul Akhir 1430H bersamaan 10 April 2009M

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se