Langkau ke kandungan utama

Malam Gemilang

Sebaik pusat pengundian ditutup tepat jam 5 petang, Markaz Besar PAS Pillihanraya N25 Bukit Selambau menjadi tumpuan. Para penyokong Pakatan Rakyat mula memenuhi kawasan markaz untuk mendapatkan gambaran dan maklumat semasa dari petugas-petugas Jabatan Pilihanraya PAS Kedah yang beroperasi di situ. Berita dari UPU Tasek Apong mendahului membawa ceria. Menjelang jam 8 malam beberapa saluran telah diketahui keputusannya.

Takbir, tepukan dan sorakan mengiringi setiap kali keputusan peti-peti undi disiarkan di skrin yang ditempatkan di situ. Kawasan bersebelahan TESCO Sungai Petani itu sendat dengan kehadiran hampir seribu penyokong Pakatan Rakyat untuk mendapatkan keputusan terkini melalui petugas-petugas yang baru selesai mengira undi. Tanpa mempedulikan hujan yang turun sejak petang, para penyokong cekal menanti hingga tamat majlis.

Tiba-tiba terdengar berita, sesuatu yang tidak enak sedang berlaku di pusat perjumlahan undi. Teman-teman di sana menghantar khabar ada tiga peti undi extra sedang cuba dibawa masuk. Sepantas kilat jentera keselamatan bergerak menghalang percubaan jahat pihak lawan. Alhamdulillah, percubaan berjaya dipatahkan. Ketangkasan unit keselamatan PAS Kedah bertindak mengekalkan kemenangan. Bayangkan kalau peti-peti tersebut terlepas masuk. Namun berita tersebut seberapa daya dirahsiakan. Bimbang tercetus kekecohan, merebak pula ke dewan SMK Teknik.

Sebaik diumumkan kemenangan Pakatan Rakyat, suasana dimeriahkan dengan tembakan bunga api atas inisiatif sekumpulan penyokong sebagai simbolik bermulanya perayaan menyambut kemenangan. Namun suasana tetap terkawal. Bersebelahan markaz, pengunjung sebuah kedai makan Cina tidak ketinggalan mengikuti perkembangan. Para penyokong pun tidak terlalu ghairah lantaran menghormati pihak lawan yang sedang bergundah.

Seorang demi seorang pemimpin berucap dengan disambut laungan takbir dan 'reformasi' menggamatkan kawasan sekitar. Terdapat juga sebilangan penyokong yang beransur meninggalkan markaz menuju ke SMK Teknik tempat keputusan diumumkan. Manakala sebahagian besarnya tetap di sini enggan melepaskan detik-detik gemilang penuh bersejarah.

Saat yang ditunggu pun tiba. Pimpinan yang tadinya berada di dewan SMK Teknik kini berada di markaz besar. Kalau tadi yang berucapnya pimpinan negeri dan kawasan kini giliran pimpinan pusat mengambil bahagian. Antaranya Dato' Mahfuz Omar dan Saudara Shamsul Iskandar, Ketua AMK Pusat serta ADUN baru Bukit Selambau, YB S Manikumar.

Hati berasa lega dan puas. Hilang segala debar. Berita dari Bukit Gantang menambah keceriaan. Penyokong enggan pulang. Kedai makan di sebelah markaz meraih untung.

Bukit Selambau yang selama sembilan hari menjadi tumpuan kini menagih janji-janji pembangunan. Hishamuddin dan Muhyidin tidak ketinggalan. Masjid dan surau serta sekolah bakal mendapat habuan. Tak kira menang atau kalah kerana politik bukan perkiraan. Itu kata mereka kala janji dilontarkan.

Kapada semua pengundi, syabas diucapkan. Tanggungjawab ditunai sudah. Demokrasi dimanfaatkan untuk memilih wakil yang dipercayai.

Kepada rakan-rakan petugas Pakatan Rakyat, tahniah kepada kita semua. Berbaloi segala kerja dan tindakan. Kita jumpa lagi di kenduri-kenduri kesyukuran. Ini kejayaan kita. Kejayaan Pakatan Rakyat.

Kepada YB S Manikumar, tahniah kerana dipilih. Bakal menghuni pula Wisma Negeri. Jangan lupa kami di sini. Ingat, rakyat sekarang dah cerdik. Kalau tidak masakan peti undi Taman Ria Jaya memihak kita. Ke semua lapan saluran 'pukul habis' membalas serangan FRU lewat ceramah DSAI tempoh hari. Kena beringat tu. Kalau tidak pengundi yang sama juga akan kalih balik.

Akhirnya kepada pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat, tahniah dan syabas. Semoga dikekalkan semangat setiakawan dan jalinan kerjasama yang erat sesama kita. Sebagai penduduk di DUN Bukit Selambau, tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua yang bertandang ke sini khususnya yang membantu kami mendapat seorang wakil rakyat yang senada dengan Kerajaan Negeri.

Kekalkan momentum kemenangan. Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Gambar-gambar di hari pengundian.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...

Benarlah kata Imam Syafi'e

Petang semalam saya sekeluarga makan di Kedai nasi kandar Husain. Memang popular kedai ini bagi masyarakat sekitar Sungai Petani tak kira Melayu, India atau Cina. Anak saya, minta nasi dan seketul ayam tandori berharga RM4.50. Besar saiznya lalu saya fikir boleh makan untuk tiga orang. saya pun minta supaya ketul ayam itu dipotong. Tahu apa kata pekerjanya? " Tak ada benda nak potong ." Tu dia, sikit punya besar kedai, pisau nak potong ayam pun tak ada! Selepas makan kami singgah di kedai buku Hasani. Saja nak tengok buku-buku baru. Khabarnya buku terbaru Kang Abik sudah di pasaran. Sedang asyik meninjau buku-buku di rak, telinga sempat menangkap perbualan seorang lelaki dengan dua orang perempuan muda. Tak pasti bagaimana saya boleh tertarik dengan perbualan mereka cuma suara lelaki itu sangat kuat dan boleh didengari seluruh kedai. Mulanya saya fikir lelaki tersebut salah seorang pekerja di situ sebaliknya bukan. Tapi dua wanita itu memang pekerja di situ melihat kepada t...