Langkau ke kandungan utama

Telekung

"Awat tak sembahyang?" Tanya saya kepada murid yang didenda berdiri kerana tidak mengikuti program solat zohor berjamaah seperti yang dijadualkan. Berbagai jawapan diberi bagi menjustifikasikan tindakan 'lari' dari solat berjamaah. "Saya tak bawa telekung, ustaz" jawab salah seorang murid perempuan. Satu alasan yang mungkin mereka rasa boleh terlepas dari denda. "Dah tau kena sembahyang, pasai apa tak bawa telekung?" Tanya saya lagi. "Lupa." katanya.

Sedangkan Allah ampunkan hambaNya yang lupa, patutkah pula saya ambil tindakan ke atasnya? Begitulah lembutnya hati saya dan dimaklumi sekalian murid. Namun saya bertekad menghapuskan salah faham tentang soal telekung yang sering 'menganggu' kaum hawa untuk menyegerakan solat mereka.

"Tak pakai telekung pun boleh sembahyang." Saya mulakan penerangan.

"Aurat dalam solat dan diluar solat sama saja. Tidak kira lelaki atau perempuan. Aurat lelaki antara pusat dan lutut manakala perempuan pula auratnya seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Kalau seorang perempuan keluar dari rumah, dia kena berpakaian menutup aurat dengan sempurna termasuk memakai stoking kerana kaki juga termasuk aurat. Tak kiralah apa jenis pakaian mereka. Berdosa kalau membuka aurat di khalayak."

Saya memberi contoh pakaian yang biasa dipakai kaum wanita. Semua beri perhatian. Takut pun ada juga. Kelmarin dah buat salah. Senang mengajar budak sekolah rendah. Melentur buluh biar dari rebungnya.

"Sekarang, cuba angkat tangan! Siapa yang pakaiannya sudah menutup aurat dengan sempurna."

Semua angkat tangan. Pakaian sekolah yang dipakai lengkap bertudung dan berstoking.

"Kalau macam tu, bolehkah pakaian sekolah dipakai untuk bersolat tanpa telekung."

"Boleh!" Jawab mereka.

Ketika menyampaikan ceramah ringkas sempena Isra' Mi'raj, saya menyentuh persoalan yang sama. Menariknya, ceramah itu bukan sahaja diikuti murid-murid tetapi semua guru terlibat sama. Audiens saya menjadi lebih luas.

Sejak itu, tiada lagi alasan 'tak sembahyang kerana tiada telekung'. Tanpa telekung pun mereka tetap bersolat mengikut jadual yang ditetapkan. Satu kejayaan melakukan perubahan. Saya terdorong mencatat pengalaman berharga ini.

Saya tertanya-tanya tentang pemahaman orang kita mengenai pakaian dalam solat. Perlukah diseragamkan pakaian semasa bersolat? Kalau lelaki dengan baju melayu atau jubah, kain pelikat dan songkok. Kalau perempuan pula dengan telekung putih.

Memang tiada masalah bagi lelaki kerana mereka boleh bersolat dengan pakaian yang sedia dipakai kerana telah menutup aurat. Tetapi, mengapa tidak bagi wanita. Kadang-kadang saya terserempak dengan wanita yang berjubah, tudungnya labuh dan berstoking, masih bersusah payah menukar dan mengenakan telekung putih untuk bersolat.

Sedangkan kita menyaksikan muslimah di Barat, mereka bersolat dengan pakaian yang sedia dipakai. Sukar kita melihat muslimah barat bertelekung. Malah saya diberitahu, muslimah kita yang tinggal di sana juga tidak bertelekung putih semasa bersolat.

Semoga kita berpegang dengan konsep 'Agama Itu Mudah' seperti yang dikehendaki oleh Baginda Rasul S.A.W. Itulah yang cuba saya terapkan di sekolah. Namun, jauh di sudut hati ada rasa bimbang kemungkinan adanya suara-suara jumud yang mempertikaikannya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah