Surau al-Muhtadin sudah siap dibaik pulih sepenuhnya. Kini tinggal pengisian rohani pula yang tertangguh selama projek berjalan dikembalikan seperti asal. Setakat ini belum ada apa-apa tanda. Dengan usaha beberapa orang rakan sejamaah, satu halaqah tadarus al-quran dibentuk. Setiap malam Jumaat selepas solat Isyak adalah waktu pilihan. Ia khusus bermatlamatkan penambahbaikan dalam bertilawah. Nampaknya seruan bersambut dan untuk malam pertamanya seramai tujuh ahli jamaah surau mengambil bahagian. Usai membetulkan bacaan fatihah, cadangan dikemukakan untuk menyelitkan sama muzakarah berkaitan solat seperti solatnya Baginda Rasul sallallahu 'alaihi wasallam. Maka bermula minggu hadapan bertambah satu lagi program pengajian atas inisiatif dan penglibatan ahli-ahli jamaah surau sendiri. Tak perlu ramai penyertaan, cukuplah buat mereka yang ada kesungguhan.
Kelmarin saya dan keluarga bercuti ke Pasir Salak. Hajat hati mahu membawa anak-anak meninjau dan mempelajari sesuatu dari peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di sana satu ketika dahulu. Maklumlah sekarang dalam mengharungi sistem pendidikan yang mengutamakan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, sejarah bangsa sendiri pun tidak diambil berat. Berbanding zaman pendidikan sekitar tahun 1980-an dahulu, Sejarah merupakan salah satu subjek dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5 yang menjadi ukuran kejayaan seseorang murid di sekolah rendah. Kesesakan di tol Cangkat Jering. Mereka nak ke mana? Kami sampai sekitar jam 3.30 petang setelah mengharungi empat jam dan sejauh 270 kilometer perjalanan. Sebenarnya saya tersalah arah. Sebabnya sebaik keluar dari lebuhraya Timur Barat mengikut susur keluar Cangkat Jering, langsung tidak ada papan tanda arah ke Pasir Salak. Sehinggalah kami sampai di satu simpang, ikut kiri ke Ipoh manakala ikut kanan menunjukkan arah ke Lumut. Saya ikut jalan kanan...
Ulasan