Langkau ke kandungan utama

Terlunaskah tanggungjawab?

Seperti tahun-tahun lepas pencapaian murid-murid dalam Peperiksaan Akhir Tahun bagi mata pelajaran Pendidikan Islam tidak mengecewakan. Ini kesimpulan yang dibuat sebaik analisis mengenainya dibuat. Sekurang-kurangnya guru-guru Pendidikan Islam SKTT mampu tersenyum bila ia dibentangkan oleh Ketua Panitia dihadapan Guru Besar dalam mesyuarat kurikulum. Walaupun tidak dinafikan adanya kelompangan terutama di kelas label rendah tetapi ia dapat ditampung dengan pencapaian kelas label tinggi yang mencatat peratus lulus 90 - 100%.

Sungguhpun begitu, bagi seorang guru pendidikan Islam atau ustaz dan ustazah, peratus murid lulus mengatasi peratus murid gagal dalam peperiksaan bukanlah pencapaian sebenar yang harus dibanggakan. Tanggungjawab seorang ustaz dan ustazah menuntut lebih dari keputusan peperiksaan. Ia berkaitan bekalan yang akan di bawa pelajar-pelajarnya pada masa hadapan.

Sejauh manakah murid beramal dengan apa yang mereka pelajari dalam kelas yang bukan sekadar bacaan al-Quran, bahkan juga berkaitan akidah, ibadah dan akhlak. Perkara inilah yang menjadi kayu ukur seseorang guru Pendidikan Islam dalam menilai pencapaian pelajar mereka. Sungguhpun kadang-kadang ia tidak berlaku di depan mata dan berkemungkinan berlaku di kemudian hari, namun tanggungjawab membangunkan potensi pekerti mulia tetap terbeban di bahu ustaz dan ustazah.

Seorang guru pendidikan Islam harus ada tekad untuk mendidik pelajar mereka bukan setakat untuk lulus peperiksaan. Bahkan perlunya mereka menilai keupayaan pelajar mereka menguasai bacaan al-Quran serta beramal dengannya. Begitu juga dalam persoalan akidah, adakah pelajar-pelajar benar-benar menghayati tuntutan kalimah syahadah? Tidak cukup sekadar menghafaz sifat dua puluh tetapi gagal merasai kehadiran Penciptanya dan mengabaikan perintah Yang Maha Esa. Paling penting adakah solat didirikan secara tetap dan cukup lima waktu sehari semalam.

Kekadang perihal solat sering mencabar wibawa seorang ustaz/ustazah. Ada pelajar yang tanpa segan silu mendedahkan permasalahan keluarga yang mengabaikan solat fardu. Alang-alang lemah semangat, seorang ustaz/ustazah bisa saja meletakkan kesalahan pelajar tadi di bawah pengaruh keluarganya.

Itu belum lagi soal menutup aurat. Ke sekolah manis bertudung bagi yang perempuan, tetapi berpakaian ketat dan terdedah pada petangnya. Ini pun pengaruh keluarga juga. Justeru ia memerlukan pendekatan penuh berhemah untuk mengembalikan pelajar yang terkeliru supaya berpegang teguh dengan ajaran agamanya. Sebagai guru meletakkan kegagalan pelajarnya untuk ditanggung oleh orang lain hatta keluarganya sendiri sekalipun adalah sangat tidak wajar. Seorang ustaz/ustazah tidak akan berhenti berusaha, mengajar, memberi nasihat, bersemuka, berbincang dan berdoa agar pelajar mereka menjadi insan yang menjaga akhlaknya dengan Allah dan sekelian makhluk Allah.

Pelajar kita adalah pewaris masa hadapan. Rosak mereka, rosaklah negara. Tanggungjawab membina insan meneruskan peranan khalifah memakmurkan muka bumi Allah terletak di bahu mereka yang bergelar USTAZ DAN USTAZAH.

Mengenangkannya saya menjadi pilu. Melihat kelibat mereka yang merempit, merokok, bergaul bebas dan berkelakuan tidak senonoh menyesakkan dada. Di antara mereka adalah bekas murid saya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se