Langkau ke kandungan utama

Nak sakit pun kena ada ilmu

Sejak tiga hari yang lepas, rahang saya sebelah kiri tiba-tiba sakit. Sakitnya turut terasa di bahagian-bahagian yang berjiran seperti gusi dan gigi geraham. Menurut kata doktor, ia akibat urat saraf rahang menjadi kejang. Fenomena biasa, katanya. Tapi sakitnya, masya Allah! Tuhan saja yang mengetahui. Kalau tidak kerana malu pada anak-anak, mahu saja saya menggelupur dan berguling-guling di depan rumah. Apa tidaknya. Rahang, gusi dan gigi berasa sakit serentak. Makan ubat tahan sakit pun, tak jadi apa. Dalam masa sehari saja saya menghabiskan sepaket ubat tahan sakit yang berjumlah lima biji selain ubat-ubat yang dibekalkan doktor dimakan mengikut arahan.

Rupa-rupanya saya dah buat satu kesilapan ketika menelan ubat tahan sakit. Silapnya saya menelan ubat semasa perut kosong. Tapi, nak makan macam mana? Nak mengunyah pun bermasalah. Akhirnya saya diberitahu kalau nak makan ubat tahan sakit mesti makan dahulu. Kalau tidak dia hanya menambahkan sakit bukannya menghilangkan rasa sakit. Memang ada arahan di plastik pembungkus ubat. Tapi saya tak endahkan kerana susah nak makan dan kerana saya terlalu sakit.



Selepas memakan nestum yang dibeli isteri petang semalam dan mengulangi pada malamnya, rasa sakit sudah mulai berkurangan. Ketika mahu masuk tidur mak teh dan pak teh datang menziarahi. Kemudian diikuti mama dan baba. Rupa-rupanya isteri saya telefon ketika saya berkeadaan macam dirasuk hantu.

Kira-kira jam 1.30 pagi tadi saya terjaga. Rasa sakit semula. Selepas makan nestum, sebiji lagi ubat tahan sakit saya telan. Setengah jam kemudian, rasa sakit mulai berkurangan. Setelah rasa agak selesa saya menyambung tidur dan terjaga pada 6.40 pagi. Selepas solat subuh berjamaah dengan isteri, saya segera bersarapan. Nestum lagi! Isteri saya pula menyediakan bubur nasi untuk saya dan anak kecil kami. Nampaknya pagi ini kami berkongsi sarapan yang sama. Selesai bersarapan, makan ubat. Alhamdulillah, sampai sekarang sakitnya sudah mulai susut.

Dalam kesakitan ini ada pengajaran untuk saya. Rupa-rupanya, nak sakit pun kena ada ilmu. Tak boleh bantai 'ikut dan', kata orang Kedah. Tanpa ilmulah saya menghabiskan sepaket ubat tahan sakit dalam masa satu hari.

Sepatutnya hari ini saya sekeluarga beserta mama dan baba ke Kuala Lumpur menghantar adik yang akan kembali menyambung kuliahnya di Syria. Beliau yang pulang bercuti sebelum Ramadan lalu dijadual berangkat dari KLIA jam 3.00 pagi esok. Terpaksalah saya mengucapkan selamat jalan untuknya dari rumah saja. Sebelum bertolak, beliau singgah terlebih dahulu di rumah saya. Semoga semuanya selamat dalam perjalanan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah