Langkau ke kandungan utama

Zakat fitrah dengan beras

Pihak pemerintah disaran mengembalikan kaedah pembayaran zakat fitrah dengan menggunakan beras sebagaimana ajaran mazhab Syafi'e yang menjadi pegangan penduduk negara ini. Saranan ini dikemukakan oleh Tuan Guru Haji Salleh Musa seorang mudir Madrasah ar-Rahmaniah di Sik, Kedah. Baca di sini

Saya sangat setuju dengan saranan ini tetapi bukan kerana ia berasal dari Mazhab Syafi'e tetapi kaedah ini lebih mendekati sunnah. Selain ulama Mazhab Hanafi, ulama lain hampir sepakat zakat fitrah hendaklah dikeluarkan dari bahan makanan yang menjadi makanan asasi setempat. Ia berdasarkan hadis dari Ibn 'Umar yang bermaksud: "Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah dari Ramadan sebanyak satu sukat dari kurma atau satu sukat gandum atas hamba atau orang merdeka, lelaki dan wanita, kanak-kanak dan orang dewasa dari kaum muslimin." (riwayat Bukhari dan Muslim- rujuk kitab Fiqhus Sunnah)

Abu Sa'id Al-Khudri Radhiyallahu 'anhu seperti yang dituliskan dalam sahih Bukhari, berkata :"Artinya : Kami mengeluarkan (zakat fitrah) pada masa Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam satu sha' dari makanan, makanan kami adalah kurma, tepung syair, kismis dan keju" [Diriwayatkan oleh Bukhari : Kitab Zakat/bab Fitrah Satu Sha Dari Makanan. 1506]

Menurut Syeikh Muhammad bin Salih Al-Utsaimin, dia (Abu Sa'id al-Khudri) tidak menyebutkan gandum juga, saya tidak pernah tahu bahwa gandum disebutkan dalam zakat Fitrah pada hadits yang sahih secara jelas, akan tetapi tak ragu lagi bahawa gandum boleh digunakan untuknya.

Walaubagaimanapun, sebagai orang biasa saya tidak sama sekali mencela pandangan Imam Abu Hanifah mengenai keharusan membayar zakat fitrah dengan wang sementelah lagi kaedah ini diterima pakai oleh pihak berkuasa agama negeri. Mengenainya, Imam Abu Hanifah mengulas hadis yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Imam Daruqutni dari Ibn 'Umar yang bermaksud: "Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah dengan sabdanya, penuhilah keperluan mereka(fakir miskin) pada hari ini."

Imam Abu Hanifah menyifatkan maksud 'keperluan mereka' ialah sesuatu yang dapat mengurangkan beban serta menggembirakan penerima zakat fitrah termasuklah wang.

Ulama-ulama yang membantah zakat fitrah dibayar dengan nilai wang pula berpendapat wang sudah ada pada zaman Nabi, namun berpandukan hadis, Baginda menegaskan supaya ia dikeluarkan dengan makanan yang mengenyangkan.

Berkaitan dengan zakat fitrah perlu dibayar terus kepada penerima tidak melalui wakil atau amil, suka saya membawa satu hadis yang diriwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah: "Rasulullah menyuruh agar aku menjaga zakat Ramadan(fitrah)." (Rujuk Fiqhus Sunnah)

Justeru saya kira amalan membayar zakat fitrah melalui amil atau wakil tidak menyimpang dari sunnah memandangkan cara sebegini memudahkan zakat fitrah diagihkan secara sama rata kepada penerima yang layak di sesebuah kawasan.

Berpandukan hadis di atas juga bayaran zakat fitrah tidak boleh dibuat atas maksud membantu perjuangan parti-parti politik atau atas nama jihad fi sabilillah. Hanya yang layak menerimanya ialah fakir miskin. Wallahu a'alam.

Sekali lagi ditegaskan ia bukanlah satu bentuk sokongan secara taksub kepada Mazhab Syafie atas alasan kita rakyat Malaysia wajib berpegang dengan Mazhab Syafie sahaja lalu menolak pendapat mazhab lain. Tetapi kerana pandangan Imam Syafie lebih menepati kehendak sunnah Nabawi. Perlu diingat pandangan yang sama turut dikemukakan oleh Imam Malik dan Imam Ahmad.

Kepada Tuan Guru Hj. Salleh, syabas diucapkan. Semoga lebih ramai lagi ulama tampil membetulkan keadaan. Kami sebagai rakyat biasa bersedia menerima sebarang perubahan dengan syarat tidak menyimpang dari ajaran Islam yang sebenarnya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah