Langkau ke kandungan utama

Salam Lebaran

Ramadan 1429H melabuh tirainya. Berakhirlah bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Beruntunglah bagi hamba-hamba Tuhan yang berusaha bersungguh-sungguh mengutip mutiara sepanjang kembara di bulan barakah ini. Bagi mukminin dan muttaqin, pemergian Ramadan diiringi dengan tangis hiba bagaikan tidak mahu melepaskannya pergi lantaran sentiasa merasakan amalan yang dikerjakan tidak pernah mencukupi. Di samping berharapkan akan ada Ramadan yang kedua dan seterusnya untuk memuaskan keinginan dan ketamakan beribadah yang tidak pernah padam. Namun apakan daya, kehendak-NYA Ramadan hanya datang sekali atau sebulan dalam setahun.

Malanglah bagi mereka yang membiarkan Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa daya usaha memperbaiki amalan dan diri ke arah mencapai reda Allah. Mereka gagal membentuk jiwa yang takut kepada Allah, sebaliknya tetap tunduk dan patuh kepada nafsu ammarah yang meronta minta dipuaskan. Sungguh menjelekkan apabila kemurniaan Ramadan dicemari dengan mengingkari perintah puasa, solat dan zakat fitrah, menjauhi amal soleh seperti zikir, tadarus dan tilawah, menghampiri dosa indera seperti umpat keji, pandangan dan pendengaran yang sia-sia serta berkekalan dengan sifat pemarah, pendendam, hasad dengki dan dosa hati seperti riak, sombong, ujub dan lain-lain.

Sungguhpun begitu kesempatan tetap ada untuk hamba-hamba Allah yang berdosa untuk kembali ke pangkalan jalan. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Menyesali kesilapan yang dilakukan dan mengharapkan keampunan dari Yang Maha Pengasih. Subhanallah. Semoga takbir, tahmid dan tasbih yang memeriahkan pagi Syawal dapat menjentik hati nurani insan untuk segera insaf.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Salam 'Idul Fitri kepada seluruh umat Islam tidak kira di mana juga berada. Khususnya kepada para pemimpin Islam di semua peringkat, pejuang-pejuang agama dari pelbagai latar belakang dan pejuang-pejuang pembaharuan. Tidak lupa kepada pengunjung azridulblog.blogspot.com, terima kasih di atas sokongan yang diberi.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah