Langkau ke kandungan utama

Tingkatan Amal Manusia

Antara perkara yang perlu diperhatikan oleh setiap individu Islam dalam menilai saudara semuslimnya ialah memahami setiap manusia Islam itu ada tingkatan-tingkatan tertentu dalam beramal. Keliru bila kita memperlakukan Muslim lain tanpa melihat kepada perbezaan-perbezaan yang dinyatakan. Di dalam masyarakat terdapatnya individu yang awam dan khusus, senior dan junior, serta yang lemah dan yang kuat.

Islam sendiri dapat menerima perbezaan-perbezaan tersebut sehingga kita menjumpai istilah-istilah dalam ilmu Islam seperti azimah, rukhsah, 'adil, fadl, fardu, sunnah dan mustahab. Istilah-istilah ini memberi gambaran bahawa ada beberapa ketika Islam tidak begitu menekan umatnya dalam beramal. Sehingga orang yang sakit boleh solah sambil duduk, berbaring malah menggunakan isyarat mata sekalipun.

Allah 'azza wa jalla berfirman,

"kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah..................." (Fathir:32)

Dalam ayat di atas Allah dengan sifatnya Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang membahagikan muslim kepada tiga tingkatan:

  1. orang-orang yang menganiayai atau menzalimi diri sendiri yang ditafsirkan sebagai orang yang lalai terhadap sebahagain kewajipan dan melakukan beberapa hal yang dilarang Islam;
  2. orang-orang pertengahan ditafsir sebagai orang yang kurang memelihara beberapa hal yang dianjurkan seperti mustahab dan muakkad, tetapi ia meninggalkan hal-hal yang diharamkan; dan
  3. orang-orang yang terlebih dahulu berbuat kebaikan iaitu orang-orang yang sering berasa tidak cukup dengan amalan-amalan yang wajib semata lalu menambahkan lagi dengan amalan-amalan sunnah dan mustahabbah(dianjurkan). Mereka juga tidak sekadar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan agama bahkan memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhah dan makruh. Di samping mereka turut meninggalkan perkara-perkara harus kerana bimbang ia menjadi berlebihan.
Ketiga-tiga kelompok manusia di atas merupakan kelompok umat yang terpilih dan mewarisi al-Quran seperi mana firmanNYA, "kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami......."

Malangnya terdapat sebilangan umat yang terkeliru dalam melayani karenah saudara Muslimnya sehingga terkeluar dari mulut-mulut mereka menghukum dengan panggilan-panggilan seperti taghut, fasiq, munafiq, zalim bahkan kafir. Selain mereka bertindak menyisih, meminggirkan dan menjauhkan saudara-saudara muslim yang terlanjur kerana bimbang kononnya terpalit debu kotor yang dibawa.

Mereka mengambil sikap bermusuh dengan orang lain hanya kerana orang itu kelihatan melakukan dosa-dosa kecil atau mengerjakan sebahagian hal yang tergolong sebagai mutasyabihat (keraguan). Sedangkan para ulama masih berbeza pendapat mengenai status hukumnya. Lagipun ia tidak lah sampai hukumnya berdosa secara qat'ie.

Termasuk kekeliruan juga, menganggap semua individu Muslim harus segera menjadi kelompok yang cepat melakukan kebaikan tanpa melihat kepada kemampuan setiap individu tersebut dalam memberi dan menerima kebaikan.

Semoga umat lebih berhati-hati dalam menilai. Jangan bersikap melampau dalam menghukum sehingga membawa kepada perpecahan. Ada baiknya, dengan kemampuan dan kekuatan ilmu serta usaha yang dikurnia Allah, tumpuan diberikan kepada usaha amar ma'ruf dan nahi munkar dalam pembentukan generasi yang mampu mengangkat tinggi martabat agamanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah