Ada sebab untuk saya rasa gembira dengan perkembangan terkini sukan bola sepak. Pertama, kemenangan pasukan Kedah ke atas Pahang 4-1 meletakkan sebelah sayap Kenari di perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini. Kedua-dua pasukan akan bertemu lagi di Kuantan dengan Hijau Kuning membawa bekalan yang cukup selesa.
Kedua, kejayaan pasukan pilihan saya di EURO 2008, Turki melangkah ke peringkat suku akhir. Walaupun tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam kumpulan A, dua jaringan dalam masa dua minit mengecewakan Republik Czech, pasukan yang berada di tangga ke-10 dunia.
Turki membuktikan mereka adalah pasukan yang mampu bermain dalam tekanan. Ketinggalan kepada pasukan lawan langsung tidak menjejaskan semangat pemain-pemain mereka. Turki ketinggalan terlebih dahulu dalam dua perlawanan menentang Swiss dan Republik Czech sebelum memenanginya dengan kelebihan satu jaringan. Menariknya, gol kemenangan dalam kedua-dua perlawanan tersebut dijaringkan pada minit-minit akhir. Sekaligus menjadikan pasukan lawan tergamam bersama segunung harapan.
Ketika teman-teman lain memilih pasukan handalan seperti Portugal, Jerman, Itali atau Perancis, saya memilih Turki kerana SATU sebab. Turki merupakan negara umat Islam. Tambahan lagi negara tersebut sekarang menuju ke arah satu perubahan cemerlang menjadikan sebuah negara yang berorientasikan Islam.
Bukan kerana sentimen semata-mata, sokongan saya juga kerana Turki pernah menunjukkan kepada dunia mutu permainan mereka dalam Piala Dunia 2002 yang lalu. Justeru saya meyakini kemampuan Turki untuk mencipta sejarah dalam kejohanan ini. Harapan saya, Turki akan mengulangi kejutan seperti mana kejutan Grecee dalam siri yang lalu.
Walaubagaimanapun, perkembangan terkini di negara Daulah Uthmaniyah itu agak menggusarkan. Golongan sekular yang terdesak kini kembali mengancam pegangan rakyat mereka terhadap Islam yang mula tercorak pasca Parti AKP memerintah.
p/s: tulisan ini tentang bola semata-mata. tidak menyentuh soal politik atau isu kenaikan harga minyak.
Ulasan