Memang benarlah gossip-gossip politik tentang kemasukan Ezam Md. Noor ke dalam UMNO tidak disenangi ramai pihak dalam parti yang menunjangi BN itu. Terbaru Dr. Rais Yatim membangkitkan rasa hairannya dengan sikap terlalu mudah UMNO menerima kemasukan Sdr. Ezam. Kemasukan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga dikatakan tidak melalui perundingan terlebih dahulu dengan Jawatankuasa Pengurusan parti yang diketuai Datuk Seri Najib serta dibantu Tan Sri Muhyiddin Yassin malah tidak dirujuk pun kepada Majlis Tertinggi (MT).
"Secara tiba-tiba sahaja satu pihak lagi begitu kuat mahu bawa masuk Mohamad Ezam." Kata Dr. Rais.
Seperti dapat diteka siapa "pihak" yang dimaksudkan itu. Desas desus yang kuat menyatakan Ezam dibawa masuk UMNO oleh Khairy Jamaluddin. Tujuannya untuk mengimbangi pengaruh Datuk Seri Najib yang disebut sebagai bakal pengganti Pak Lah melalui rancangan peralihan kuasa dalam UMNO dan kerajaan. Adakah kerana itu, Datuk Seri Najib tidak dibawa dalam perundingan membawa masuk Ezam?
Kem Pak Lah mengharapkan kemasukan Ezam dapat mengembalikan imej suci Pak Lah yang tercemar selepas PRU 12 lalu. Usaha Pak Lah untuk memurnikan badan kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah melalui pembentukan suruhanjaya dilihat Ezam sebagai satu reform dalam pentadbiran terkini Pak Lah. Justeru selepas ini Ezam akan jadi orang Pak Lah.
Tugas Ezam selepas ini ialah mencanangkan pembaharuan Pak Lah. Presiden UMNO itu akan kembali mendapat tempat di hati orang UMNO dan rakyat. Rancangan peralihan kuasa tertangguh sementara. Pengaruh Datuk Seri Najib dapat diredakan. Kuasa kekal ditangan Pak Lah atau lebih tepat di tangan "orang-orang tingkat 4". Itulah harapan besar "pihak" yang membawa masuk Ezam.
"Dia sudah cakap 'lebih' (kononnya) hendak corakkan kepimpinan UMNO pada masa depan dan sebagainya." Tambah Dr. Rais lagi.
Ya, Ezam bakal mencorakkan UMNO! Mengikut corak Khairy dan sekutunya.
Ulasan