Langkau ke kandungan utama

Kanak-kanak dalam saf.

Sekonyong-konyong datang seorang teman bersama kemusykilannya. Berhajat menguraikan kekeliruannya berkenaan kedudukan kanak-kanak dalam saf solat.

Kanak-kanak yang belum berkhatan tidak boleh bersama-sama orang dewasa dalam satu saf. Sebabnya, sisa najis mereka terkumpul dihujung kemaluan mereka. Satu badan bernajis. Bila bersentuhan dengan orang dewasa, solat orang dewasa menjadi tidak sah. Lebih sadis lagi ada yang berpendapat satu saf akan terbatal solat kalau bersentuhan dengan orang yang bersentuhan dengan kanak-kanak yang belum berkhatan. Logikkah????

Peliknya, sisa air kencing hanya di bawah kulit kemaluan. Apa hal pula satu badannya jadi najis??

Tambah pelik lagi, badan orang dewasa yang bersentuhan dengan kanak-kanak tadi tidak disyaratkan membasuhnya. Hanya solat saja yang terbatal. Bukankah sifat najis perlu dibasuh.

Apa jadi pula kalau kanak-kanak tadi didukung sebelum seseorang keluar bersolat. Kena mandikah? Kena salin bajukah? Najis tau!!!

Tetapi sepanjang pengetahuan tidak pula dibincangkan sampai ke situ. Sekadar membatalkan solat saja. Pelik! Pelik! Pelik!

Ulama kita sudah tentukan macam itu. Terima sajalah. Kalau pandai sangat, jadilah ulama. Buat hukum sendiri. Alasan biasa orang-orang kita. Tapi kalau kita tidak ikut kaedah itu dikatakan tidak menghormati ulama pula.

Kita memang dituntut supaya menghormati ulama. Kita sanjung mereka sebagai penyumbang kepada dunia intelektual dari dulu, kini dan selamanya. Cuma mereka bukan golongan yang maksum. Mereka juga terdedah kepada kesilapan. Justeru jika terdapat keraguan pada sesuatu ajaran yang disampaikan ulama, wajar kita segera menjadikan al Quran dan as Sunnah sebagai rujukan.

"Jika kamu berselisih dalam sesuatu, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul (al Quran dan as Sunnah)........"

Begitulah daya fikir orang sekarang. Kritis dan skeptikal. Seringkali timbul keraguan munasabah yang menuntut pula keterangan yang munasabah dari pihak yang berautoriti.

Jangan lagi ada jawapan yang menyekat kebebasan bertanya seperti "barangsiapa yang banyak bertanya, maka rosaklah imannya". Jawapan yang mengesahkan ketaksuban kita kepada ulama tanpa menilai sesuatu pandangan dengan penilaian yang adil.

Buat rakan tadi saya hanya mampu berkongsi satu riwayat dari Anas ibn Malik radhiallahu 'anhu,
"Saya bersolat di rumah kami dengan sorang anak yatim di belakang Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, sedang ibu saya Ummu Sulaim di belakang kami." Dalam riwayat lain disebutkan, "lalu saya diletakkan sebaris dengan anak yatim itu di belakang Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, manakala ibu saya berada di belakang kami."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Itu yang belum berkhatan. Bagaimana pula yang sudah berkhatan tetapi masih ditempatkan di saf kanak-kanak. Apa pula alasan kali ini? Alasannya, peraturan masjid.

Imam Bukhari ada meriwayatkan dalam kitab sahihnya tentang solat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sambil mendukung cucu Baginda, Umamah binti Zainab.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...