Majalah I keluaran Jun menyiarkan temubual bersama YAB MB Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar b. Jamaluddin. Temubual yang memfokuskan "Ketuanan Melayu" yang sedang hangat dikatakan oleh beberapa kerat golongan Melayu terdesak dalam negara kita telah dikupas dengan baik dan diselit pula dengan sindiran-sindiran dari Datuk Seri Nizar.
Paling menarik perhatian saya ialah pendedahan yang dianggapnya sebagai ekslusif. "Saya tidak pernah beritahu ini kepada mana-mana akhbar dalam dunia, ini pertama kali saya hendak laporkan, ini betul ekslusif untuk saudara (Majalah I-pen)."
"Mereka bercakap mengenai ketuanan Melayu, tetapi saya adalah orang yang pernah menyaman kerajaan dan menyaman Menteri Pendidikan ketika itu kerana menukar dasar mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Saudara semaklah siapa budak yang menyaman kerajaan ketika itu?
Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, saya dan anak saya turun naik mahkamah, dan anak saya dah darjah enam. Dia saman masa dia darjah empat. Saya masa itu sebagai pembangkang, tetapi saya memperjuangkan hak Melayu.
Saya sanggup bayar duit peguam untuk menyaman kerajaan oleh kerana tindakan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, bertentangan dengan Akta Pendidikan dan bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan.
Sekurang-kurangnya walaupun dalam pembangkang, saya membuktikan kesungguhan saya menjaga ketuanan Melayu dengan mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu, walaupun saya diejek ketika itu. Mereka kata, tak pernah dibuat orang budak kecil saman kerajaan."
Memperjuangkan ketuanan Melayu adalah menjaga hak orang Melayu. Bahasa, budaya, adat resam malah yang paling penting menjaga agama yang dianuti oleh orang Melayu. Agama Islam. Itu yang mahu ditunjukkan oleh Datuk Seri Nizar. Justeru beliau mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan.
Bandingkan dengan orang yang sedang bercakap tentang ketuanan Melayu sekarang. Apa yang mereka buat sejak enam tahun yang lalu ketika bahasa Melayu dihina sebagai bahasa yang tidak bermartabat. Tanya guru-guru bahasa Melayu di sekolah-sekolah. Menteri, Pengarah, PPD, Pengetua, GB dan pelajar asyik bercakap tentang kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa pendidikan.
Sambil tidak mengenepikan kepentingan bahasa Inggeris tetapi membiarkan bahasa Melayu dianggap kolot oleh orang Melayu sendiri adalah sangat tidak bermaruah.
Golongan yang tidak bermaruah inilah yang sedang menyalak tentang ketuanan Melayu.
Ulasan