Langkau ke kandungan utama

Hukum Membaca Quran Untuk Arwah

Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya Tafsir Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat 36 – 41 surah an Najm yang bermaksud,

"Ataukah belum diberitakan kepadanya apa yang ada dalam lembaran- lembaran Musa? Dan lembaran-lembaran Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji? (yaitu) bahawasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang Telah diusahakannya, Dan bahawasanya usaha itu kelak akan diperlihat (kepadanya). Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna,"

"melalui ayat yang mulia ini, Imam Syafie menetapkan hukum:-

- Pahala bacaan alQuran orang yang masih hidup tidak akan sampai kepada orang yang sudah mati.

- Ini kerana bacaan itu bukan berasal dari amal si mati dan bukan pula merupakan usahanya (rujuk ayat 39).

- Rasulullah tidak pernah menganjurkan umatnya.

- Tidak ada riwayat yang sahih, para sahabat melakukan demikian.

- Kalau ia merupakan satu perbuatan yang baik sudah tentu Rasulullah dan para sahabat telah mendahului kita.

- Berkaitan amalan berdoa untuk kesejahteraan dan pengampunan untik si mati, ia diharuskan dan bermanafaat untuk si mati kerana ada nas syariat yang berkaitan dengannya."


Tafsir Al Manar – oleh, Syeikh Muhammad Abduh dalam Tafsir al Manar mentafsirkan ayat 164 surah Al An-An'am yang bermaksud,

"Katakanlah (wahai Muhammad), apakah aku akan mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia adalah Tuhan bagi segala sesuatu. dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan."

Kata Syeikh Muhammad Abduh, sekiranya seseorang tidak dapat menanggung dosa orang lain, maka begitulah halnya, orang hanya akan memperolehi pahala hasil dari usahanya sahaja.

Berkata Syeikh Muhammad Ridha dalam tafsirannya dalam ayat yang sama, sesungguhnya perbuatan yang berlaku sebagai adat seperti bacaan al Quran, bezikir dan menghadiahkan pahalanya untuk orang mati, mengupah orang lain membaca dan berwaqaf untuk tujuan tersebut adalah bidaah dan tidak disyariatkan dalam agama. Sesungguhnya hadis tentang membaca Yaasin tidak ada yang sahih, sekalipun untuk orang yang sakratul maut.

Beberapa hadis palsu berkaitan membaca Yaasin di kuburan.

1 "sesiapa yang menziarahi kubur ke dua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka berdua pada hari Jumaat, kemudian membaca surah Yaasin nescaya diampunkan untuknya"
status hadis, batil menurut Ibn A'diy seperti yang dinukilkan oleh As Suyuti. Di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama Amr bin Ziyad seorang yang suka berdusta dan suka mencui hadis. Menurut Daruthquthni, dia selalu mereka-reka hadis.

2 "sesiapa yang menziarahi kubur ke dua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka berdua pada setiap hari Jumaat, nescaya diampunkan untuknya dan dia dicatit sebagai orang yang melakukan kebajikan"
status hadis, tidak mempunyai asal menurut Ibn Hibban (dinyatakan oleh As Suyuti). Perawi hadis ini, Abu Muqatil Hafs ibn Abu Sulaim selalu meriwayatkan hadis-hadis munkar.

Pendapat Imam-Imam Mazhab

1. Pendapat Imam Syafiee.
Pahala bacaan Al Quran yang dikirimkan kepada orang yang sudah meninggal tidak sampai, berdasarkan ayat 38 dan 39 surah an Najm yang bermaksud,
"bahwasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang Telah diusahakannya,"
(dinukilkan pendapat ini oleh Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya)

Hadis menyatakan " apabila mati seorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, doa anak yang soleh."
Ketika mensyarah hadis ini Imam Nawawi berkata, adapun bacaan al Quran serta solat dan mengirimkan pahalanya kepada orang yang sudah mati tidak akan sampai kepadanya". Imam Nawawi turut mengulangnya beberapa kali dalam Syarah Sahih Muslim.

Dalam kitab syarah Al Minhaj, kata Imam Nawawi lagi, "menurut pendapat kami, mengirimkan pahala bacaan al Quran untuk si mati tidak akan sampai kepadanya. Begitulah pendapat yang masyhur".

Imam Izzuddin bin Abdus Salam ditanya tentang perkara tersebut, beliau menjawab, "pahala bacaan al Quran untuk si pembaca sahaja tidak sampai kepada orang lain."

2. Mazhab Hanafi
Kata imam Abu Hanifah dalam Fiqhul Akbar "membaca al quran di kuburan adalah makruh".

3. Mazhab Maliki
Terdapat dalam kitab Al Madkhal "membaca al quran di kuburan adalah bidaah kerana tidak terdapat dalam sunnah Nabi"

4. Mazhab Hanbali
Berkata imam Ahmad ibn Hanbal kepada orang yang membaca Quran di perkuburan "ya, inilah dia, sesungguhnya membaca al quran di kuburan adalah bidaah."

Demikianlah pendapat imam-iama muktabar lagi dihormati oleh umat Islam serta masyarakat Melayu khususnya Imam Syafie rahimahullah. Sesungguhnya tulisan ini tidak bermaksud untuk menghangatkan polemik yang sedia ada tetapi menyatakan sokongan kepada pihak yang sentiasa mengajak masyarakat kembali kepada penghayatan al Quran dan AS Sunnah dengan sebenarnya. Menghayati al Quran dan as Sunnah mesti difahami dengan maksud meninggalkan segala amalan yang bercanggah dengan keduanya serta tidak bersikap menokok tambah sebarang amalan berbentuk ibadah.

Selain itu, meninggalkan sikap bertaklid buta dan berhati-hati menerima hadis dengan menilai status hadis terlebih dahulu, adalah menjadi sebahagian disiplin orang-orang berilmu. Bukankah beramal tanpa ilmu itu sia-sia. Semoga kita kembali kepada nas yang sahih apabila mengerjakan sesuatu amalan. Jangan kita tergolong dalam ayat Allah dari surah al Isra' ayat 36 yang bermaksud, "dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya."

Wallahu a'lam.

Ulasan