Langkau ke kandungan utama

Larangan duduk di atas kubur

surau copy

  1. Malam ini ada kuliah Ustaz Hafiz di surau al-Muhtadin.
  2. Sahabat saya En. Zul, mempelawa saya ikut serta dalam kuliah tersebut. Khabarnya mereka akan berbincang mengenai hukum duduk atas kubur.
  3. Seharian di sekolah sangat meletihkan. Jadi saya memutuskan untuk berada di rumah saja. Kalau En. Zul ada terbaca tulisan ini, saya minta maaf.
  4. Perkara ini terlebih dahulu dibangkitkan Ustaz Hafiz dalam kuliahnya kira-kira sebulan yang lepas. Ketika itu saya turut mengikuti majlisnya.
  5. Ustaz Hafiz mencadangkan supaya para penziarah kubur berdiri kerana ia lebih mendekati sunnah. Namun menurutnya lagi, tiada pula nas yang melarang duduk.
  6. En. Zul kemudiannya mencelah mengatakan ada hadis yang melarang mereka yang menziarahi kubur duduk di atasnya.
  7. Minggu lepas salah seorang jamaah meminta supaya En. Zul mengemukakan hadis yang dimaksudkan.
  8. Begitulah yang diceritakan kepada saya oleh En. Zul kerana saya tidak berada dalam majlis tersebut.
  9. Sememangnya ada larangan duduk di atas kubur oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
  10. Telah berkata ‘Amar bin Hazmin yang bermaksud, “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah melihat aku duduk(bertelekan) di atas kubur, maka Baginda bersabda: jangan kau sakiti penghuni kubur ini.Menurut satu riwayat “jangan kau sakiti dia.” (Riwayat Ahmad dengan isnad yang sahih)
  11. Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bemaksud, “Lebih baik jika seseorang daripadamu duduk di atas bara api hingga membakar pakaiannya dan tembus kulit-kulitnya, daripada ia duduk di atas kubur.” (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, Nasai dan Ibn Majah)
  12. Walaubagaimanapun di kalangan ulama masih berbahas sama ada larangan itu sekadar makruh atau sampai ke tahap haram. Cuma yang pasti, amalan duduk di atas kubur bukan sunat dan tidak memberi pahala kepada pelakunya.
  13. Di antara ulama yang mengharamkannya ialah Ibn Hazm dan mazhabnya kerana pada hadis adanya larangan yang berbentuk ancaman.
  14. Menurutnya lagi, ia juga pendapat segolongan ulama salaf yang termasuk di dalamnya Abu Hurairah.
  15. Sebahagian ulama lain pula memakruhkannya. Antaranya, Imam Syafie berdasarkan perkataan Imam Nawawi. Demikian pendapat Nakhai’e, Laith, Ahmad dan Abu Daud.
  16. Sebaliknya Ibn Umar, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik mengharuskannya.
  17. Pada anggapan Imam Malik seperti yang tersebut al-Muwatha’, duduk yang dimaksudkan dalam hadis ialah duduk untuk buang air besar atau kecil.
  18. Tafsiran ini dianggap lemah dan tidak sah oleh Imam Ahmad dan Imam Nawawi. Manakala Ibn Hazm menyanggahnya dari berbagai segi.
  19. Kesimpulannya, hukum duduk di atas kubur masih berkisar antara haram atau makruh.
  20. Setelah dikenal pasti hukumnya, timbul pula persoalan duduk diatas kubur. Adakah duduk di sebelah kubur seperti amalan sebahagian besar masyarakat kita semasa menziarahi kubur juga dianggap sebagai duduk di atas kubur? Atau mungkin ia juga termasuk duduk di dalam kawasan perkuburan.
  21. Jika merujuk terus kepada teks kedua-dua hadis di atas jelas menyebutnya على قبر atau ‘di atas kubur’ dan bukannya di sebelah kubur. atau dalam kawasan perkuburan.
  22. Bagi saya-yang serba jahil ini-, melihat larangan tersebut dikhususkan kepada perbuatan duduk di atas kubur. Bukan duduk di sebelah kubur atau larangan duduk di dalam kawasan perkuburan.
  23. Namun kalau saya yang menziarahi kubur, saya memilih untuk berdiri di sebelah kubur kerana merasakan itu yang paling selamat. Dengan berbuat demikian saya telah cuba mengelak dari terus berkhilaf.

::Rujukan: Sayyid Sabiq. Fiqh Sunnah (Terjemahan). Bab Janazah di bawah topik Larangan Duduk di Kubur.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...

Benarlah kata Imam Syafi'e

Petang semalam saya sekeluarga makan di Kedai nasi kandar Husain. Memang popular kedai ini bagi masyarakat sekitar Sungai Petani tak kira Melayu, India atau Cina. Anak saya, minta nasi dan seketul ayam tandori berharga RM4.50. Besar saiznya lalu saya fikir boleh makan untuk tiga orang. saya pun minta supaya ketul ayam itu dipotong. Tahu apa kata pekerjanya? " Tak ada benda nak potong ." Tu dia, sikit punya besar kedai, pisau nak potong ayam pun tak ada! Selepas makan kami singgah di kedai buku Hasani. Saja nak tengok buku-buku baru. Khabarnya buku terbaru Kang Abik sudah di pasaran. Sedang asyik meninjau buku-buku di rak, telinga sempat menangkap perbualan seorang lelaki dengan dua orang perempuan muda. Tak pasti bagaimana saya boleh tertarik dengan perbualan mereka cuma suara lelaki itu sangat kuat dan boleh didengari seluruh kedai. Mulanya saya fikir lelaki tersebut salah seorang pekerja di situ sebaliknya bukan. Tapi dua wanita itu memang pekerja di situ melihat kepada t...