Cuba kita bertanya pada diri, "apakah aku seorang yang kreatif?". Apa jawapan kita, "ya" atau "tidak"?
Profesor Dacey dari Cornell University telah mengkaji beberapa orang remaja yang dikategorikan sebagai kreatif. Kajiannya mendapati remaja-remaja tersebut menganggap diri mereka memiliki 'keistimewaan' yang tersendiri. Mereka percaya yang mereka berbeza dengan orang lain serta mempunyai kelebihan yang tidak ada pada orang lain.
Menurut remja-remaja itu lagi, mereka menjadi kreatif kerana mendapat dorongan kuat dari ibu bapa masing-masing. Mereka diberi peluang untuk belajar perkara-perkara yang mereka minati. Mereka juga digalakkan untuk banyak bergaul dan bersahabat. Ibu bapa mereka juga sering membawa mereka mengalami situasi-situasi yang boleh mencerahkan kemampuan kreativiti. (Ainon Mohd dan Abdullah Hassan. Berfikir Dalam Darjah. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. 1996)
Ahli-ahli psikologi berpendapat orang-orang yang kreatif adalah orang-orang yang percaya mereka kreatif. Inilah yang membezakan antara orang yang kreatif dengan orang yang tidak kreatif. Apa yang kita percayai tentang diri kita akan mempengaruhi pencapaian kita.
Apabila kita percaya diri kita seorang yang kreatif, maka kita akan menjadi orang yang kreatif. Begitulah sebaliknya. Jika selama ini kita menganggap diri kita bukan seorang yang kreatif, sebenarnya, ramai lagi yang beranggapan sedemikian. Ramai yang tidak percaya kepada kreativiti sendiri.
Setiap orang berkemampuan untuk menjadi kreatif, tetapi tidak tahu bagaimana untuk menjadi kreatif. Pakar-pakar psikologi mengesahkan seseorang boleh diajar dan belajar untuk menjadi kreatif. Sebagai permulaannya, cuba memahami apa yang dikatakan kreatif. Seterusnya mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan kita tidak kreatif. Akhirnya mencari kaedah untuk menjadi kreatif.
Ulasan