Langkau ke kandungan utama

Mazhab Syafi'e atau mazhab masyarakat

"Assalamua'laikum warahmatullah."
"Assalamua'laikum warahmatullah
." Ustaz Zarin baru menyelesaikan solat sunat ba'diah Isyaknya. Seketika Ustaz Zarin mengisi masanya dengan berzikir. Mulutnya terkumat-kamit melafazkan zikir tanpa mengeraskan suara seperti kelazimannya. Kerana zikirnya yang perlahan juga dia sering disisih dari menjadi imam solat jamaah biarpun bacaannya mengatasi imam-imam lain. Namun Ustaz Zarin tetap kejap dengan pendiriannya yang didasari kepada firman Allah dalam surah al- A'raf ayat 205 yang bermaksud, "dan sebutlah Tuhanmu di dalam dirimu dengan cara merendahkan diri dan takut kepadaNya tanpa mengeraskan suara di waktu pagi dan petang ....."

"Ustaz, maaflah saya nak tegur sikit." Tiba-tiba Ustaz Zarin perasan yang seseorang berada di sebelahnya. "Ooo, tuan haji rupanya." Begitulah Ustaz Zarin berbahasa dengan Haji Sahar iaitu Penasihat surau al-Huda yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai Imam surau. "Ada apa tu?" Tanya Ustaz Zarin.

"Tadi masa ustaz jadi imam solat isyak, ustaz tak baca bismillah dalam fatihah." Itu yang mahu ditegurnya.

"Saya bukan tak baca, saya cuma sirrkan atau perlahankan." Tegas Ustaz Zarin dalam kelembutan suaranya.

"Tak bolehlah macam tu. Kita ni bermazhab Syafie. Kena baca kuat bismillah kita." Tuan Imam memperkuatkan hujahnya dengan menyandarkan kepada mazhab Syafie.

Ustaz Zarin tersenyum. Beginikah tahap pemikiran seorang yang selama ini merasakan dirinya paling layak menjadi imam surau? Fikir Ustaz Zarin. Segera pula Ustaz Zarin beristighfar dalam hati. Dah dirasuk syaitankah aku ni? Dia menggelengkan kepala. Menyesal. Senyumannya masih tak lekang dari bibir.

"Tuan Haji." Ustaz Zarin mula bersuara. Lembut. "Tuan Haji kata, kita mazhab Syafie. Tapi Tuan Haji memulakan solat dengan lafaz ushalli. Kitab Imam Syafie yang mana kata sebelum solat kena lafaz ushalli? Setahu saya dalam kitab al-Umm tak pula disebut tentang lafaz ushalli."

Ustaz Zarin masih mahu meneruskan lagi. "Kalau ikut Imam Syafie, zikir selepas solat hendaklah diperlahankan. Tapi tuan haji malah menyaringkan bacaan zikir atau berwirid dengan suara kuat. Tuan Haji pun tak ikut Imam Syafie."

"Betulkah"? Haji Sahar tidak berpuas hati. Terbeliak matanya. Egonya tersentuh.

Ustaz Zarin meneruskan hujahnya lagi. "Dalam ulasannya ke atas hadis Ibn Abbas, Imam Syafie berkata, pada pendapatku imam dan makmum hendaklah berzikir selepas menunaikan solat. Mereka hendaklah memperlahankan bacaan zikir itu. Melainkan jika imam mahu mengajar (bacaan-bacaan itu kepada makmum). Ketika itu bacaan zikir dikuatkan. Sehinggalah dilihat (oleh imam itu makmum mampu mempelajari zikir itu sepenuhnya). Selepas itu dia hendaklah memperlahankannya. Aku suka sekiranya imam menyebut nama Allah di tempat duduknya sedikit dengan kadar yang seketika selepas kaum wanita pergi. Ini seperti yang Ummu Salamah katakan. Kemudian imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum itu atau duduk lebih lama di situ, tidak mengapa. Makmum boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi atau bersama imam, itu lebih aku sukai padanya." (As-Syafie, Mausu'ah al-Imam as-Syafi'e: al-Umm jil 1 ms 353).

Kali ini Haji Sahar terdiam. Lama Ustaz Zarin menunggu sehingga dia berasa tiada lagi bicara lalu bangun mahu meninggalkan surau. Tiba-tiba, "masyarakat kita dah buat macam ni. Lagi pun tak salahkan?" Lemah sekali suara tuan imam.

"Tadi suruh ikut mazhab Syafie. Sekarang mazhab apa pula? Mazhab masyarakat?? Ustaz Zarin menghabiskan ayatnya lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. Salamnya bersambut, tapi muka Haji Sahar mencuka semacam.


:: Nama dan watak di atas tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Harap maklum.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se