Langkau ke kandungan utama

Solat berjamaah

Kalau bercakap tentang solat berjamaah, bukan main lagi hujahnya.

Kalau nak ajak ke surau atau masjid, banyak pula dolak-daliknya.

Tak sempat! Banyak kerja! Sibuk! Assignment bertimbun-timbun!

"Sembahyang di rumah pun sah juga". Kalau begini bunyi ayatnya, lebih baik beredar saja. Cakap pun dah tak guna.

Hakikatnya solat berjamaah menjadi keutamaan atau tidak kepada seseorang bergantung kepada sejauh mana tanggapan terhadap hukum mengerjakannya.

Justeru apakah hukum solat berjamaah? Ulama berbeza pendapat mengenai hal ini dan menjadikan beberapa pendapat.
  1. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berpendapat solat berjamaah termasuk syarat sah solat. Ertinya solat tidak sah melainkan dilakukan secara berjamaah.
  2. Sebahagian ahli hadis berpendapat hukumnya wajib.
  3. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berpendapat hukumnya sunat.
  4. Di sisi Mazhab Syafi'e solat berjamaah dihukum sebagai fardu kifayah. Orang Melayu di Malaysia berpegang teguh dengan pandangan ini. Cukuplah dengan dua tiga orang sembahyang jamaah, yang lain tak payah.
Tapi bagaimana sebenarnya kehendak sunnah? Cuba perhatikan hadis-hadis Rasulullah berkaitan solat berjamaah.

  1. "Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNYA. Sungguh aku ingin memerintahkan (kaum muslimin) mengumpul kayu bakar lalu diikat. Kemudian aku perintahkan agar solat berjamaah didirikan, maka azan pun dikumandangkan. Kemudian aku akan perintahkan seseorang untuk mengimami kaum muslimin. Kemudian aku akan mendatangi kaum lelaki yang tidak turut bersolat jamaah lalu aku bakar rumah mereka." Bukhari(7224), Muslim(651)dengan lafaz yang mirip dan Ibn Majah(791) dengan lafaz yang mirip.
  2. "Barangsiapa yang mendengar seruan azan, tetapi dia tidak mendatanginya, maka tiada solat baginya, kecuali kerana satu uzur." Ibn Majah(793), Ibn Hibban(2064) dengan lafaz yang senada.
  3. Rasulullah bersabda kepada Abdullah ibn Ummi Maktum(seorang sahabat yang buta matanya), "Apakah engkau mendengar seruan untuk solat?" Dia menjawab, "Ya". Baginda bersabda, "Maka jawablah (seruan itu)". Muslim(635), Ibn Hibban(2063) dengan lafaz yang mirip.


Memadai tiga hadis di atas menunjukkan betapa solat fardu hendaklah sedaya mungkin dilakukan secara berjamaah. Hadis pertama Baginda Rasulullah mengugut membakar rumah orang-orang yang meninggalkan solat berjamaah. Dahsyat. Kalau hari ini sudah tentu ia dilabel sebagai satu tindakan keganasan. Dalam satu mesyuarat AJK sebuah masjid mencadangkan supaya rumah-rumah penduduk yang tidak pernah hadir ke masjid bersolat jamaah diboikot terutamanya melibatkan majlis-majlis kenduri. Cadangan begini saja sudah dianggap tidak berhemah dan tidak berhikmah oleh sebahagian yang lain.

Hadis kedua menunjukkan bahawa orang-orang yang bersolat secara sendirian seperti tidak bersolat. Lalu apa ertinya, "solat di rumah pun sah juga"? Mungkin saudara kita ini bermaksud dia solat di rumah berjamaah bersama ahli keluarganya.

Manakala pengajaran dari hadis ketiga betapa seorang yang buta tetapi masih mendengar seruan azan tetap wajib mengerjakan solat secara berjamaah di tempat azan tersebut dilaungkan, inikan pula yang celik seperti kita.

Oleh kerana itu, pandangan yang lebih sahih dan unggul adalah bahawa solat berjamaah hukumnya wajib. Sesiapa sahaja dari kaum lelaki yang meninggalkan solat berjamaah, menjadi kewajipan pemerintah atau wakilnya untuk menegur mereka.

Adapun Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah mengerjakan solat fardu secara sendirian melainkan secara berjamaah selama hayat Baginda. Inilah panduan terbaik bagi mereka yang mengaku dirinya Ahli Sunnah wal Jamaah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah