Langkau ke kandungan utama

Antara P&P dan yuran

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengeluarkan arahan supaya proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan pada hari pertama sesi persekolahan bermula. Arahan yang dipanjangkan melalui Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) ini hendaklah dipatuhi oleh semua pentadbir sekolah. Tindakan akan dikenakan kepada pentadbir sekolah yang didapati gagal melaksanakan arahan terutamanya semasa wakil-wakil dari JPN atau PPD mengadakan pemantauan.

Bagi memastikan P&P berlangsung pada hari pertama, sebarang urusan yang boleh mengganggu kelancarannya seperti pembayaran yuran tidak dibenarkan. Justeru pihak sekolah telah menetapkan hari tertentu sebelum sekolah dibuka sebagai hari untuk ibu bapa murid menjelaskan yuran persekolahan anak-anak mereka.

Walau bagaimanapun ada juga di kalangan ibu bapa murid yang tidak berkesempatan berbuat demikian pada hari tersebut selain ada yang tidak mendapat maklumat atau mungkin terlupa. Keadaan ini menyebabkan perancangan asal untuk semua yuran murid dapat dijelaskan pada hari yang ditetapkan tidak berlaku sepenuhnya. Mereka pun bukanlah bermaksud untuk lari dari tanggungjawab membayar yuran kecuali kerana sebab-sebab yang dinyatakan di atas. Oleh kerana itu masih terdapat para ibu bapa murid yang yang datang pada hari pertama persekolahan atau hari-hari berikutnya semata-mata mahu menjelaskan yuran persekolahan anak-anak mereka.

Manakala JPN dan PPD pula, awal-awal lagi telah mengeluarkan arahan melarang sebarang urusan berkaitan yuran bagi mengelak gangguan P&P kecuali pembayaran dilakukan di pejabat sekolah. Kekadang arahan ini menimbulkan masalah pula kepada guru kelas yang terbabit terutamanya ketika ada ibu bapa murid yang datang mahu menjelaskan yuran sewaktu beliau sedang mengendalikan kelasnya. Ditakdirkan, katakanlah, sedang beliau asyik melayan urusan yuran, sekolah pula didatangi sang pelawat berjawatan besar dari KPM, JPN dan PPD. Alamat kena panggil menghadaplah guru malang tersebut.

Guru kelas boleh mencadangkan supaya waris pelajar yang mahu membayar yuran pada hari persekolahan berbuat demikian di pejabat sekolah. Sementara itu terpaksalah ditunjukkan arah pejabat terlebih dahulu terutama kepada ibu bapa yang sudah lupa arah ke pejabat dan jarang-jarang pula menjenguk sekolah anak-anak mereka. Sekiranya keberatan untuk ke pejabat, dicadangkan supaya pembayaran dilakukan selepas waktu persekolahan. Kalau dia berkeras juga? Silap haribulan guru pula yang kena maki hamunnya. Kemudian dia balik langsung tidak menjelaskan yuran anaknya sampai akhir tahun.

Inilah masalahnya. Guna budi bicara? Tapi JPN dan PPD tidak pula cakap kena guna budi bicara. Tambahan lagi kalau Guru Besar(GB) pula jenis penakut yang takutkan pihak atasan macam takutkan hantu raya. Tak nampak depan mata pun masih berasa ada yang memerhatikan. Sikit-sikit "ini arahan", sikit-sikit "kita kena ikut arahan". Guru Besar jenis ini memang sah tidak guna budi bicara. Malangnya yang menanggung beban ialah guru-guru di bawahnya.

Di akhir tahun, GB-GB inilah yang mendesak guru-guru mereka agar segera mendapatkan yuran dari murid yang belum menjelaskannya lagi melalui apa cara sekalipun walaupun terpaksa 'berkorban apa saja'. Sementara waris yang keras kepala pula sebaik saja menerima surat pemberitahuan mengenai yuran, apa kata mereka? "Dulu orang nak bayag yuran, mengada-ngada. Biag pi lah! Padan muka depa." Maka yang menanggung sakitnya adalah guru-guru terutama yang jenis angguk saja.

Kesimpulannya, hal ini bergantung kepada budi bicara Guru Besar. Mereka juga berkewajipan membela guru-guru sekiranya ditakdirkan ketika kejadian berlaku ada pelawat yang datang. Rekalah apa alasan sekalipun asalkan selamat semuanya. Dan yang paling penting GB kena berpandangan jauh dan melihat masalah yang bakal berlaku di kemudian hari. Malangnya jika seorang Guru Besar yang kononnya berpengalaman 5-6 tahun tapi masih cetek pemikiran. Kebiasaannya juga Guru Besar jenis ini yang sangat disayangi PPD/JPN/KPM dan cepat pula naik pangkat. Jenis yang angguk-angguk geleng-geleng.

Kalau nak harapkan orang-orang yang duduk dalam bilik berhawa dingin di atas kerusi empuk di kementerian atau jabatan atau PPD, lagi 'hampeh'. "Manalah depa tau masalah kita di sekolah," kata seorang teman satu ketika dulu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah