Langkau ke kandungan utama

Tawar hati dengar khutbah Jumaat

Kalaulah tak kerana solat Jumaat itu hukumnya fardu 'ain saya lebih suka bersolat Zohor di rumah. Dan kalau solat Jumaat itu tidak wajib dikerjakan di masjid, sudah lama saya dan teman-teman berpakat mendirikan solat Jumaat di surau al-Muhtadin. Malas sungguh nak melangkah ke masjid berdekatan. Walaupun saya hanya perlu memandu sejauh 3km sahaja, namun saat enjin kereta mahu dihidupkan rasanya seperti mahu memulakan kembara sejauh ratusan kilometer.

Sampai di masjid, di dalamnya sudah penuh. Kebiasaannya di bawah pokok nangka berdekatan pagar belakang masjid, saya dan anak-anak menghampar sejadah duduk sementara menanti solat didirikan. Suara khatib langsung tenggelam oleh suara bualan kanak-kanak dan orang dewasa. Lagi pun saya kurang berahi dengan khutbah di masjid ini.

Sejak masjid ini mula digunakan lebih kurang 8 tahun yang lalu, hanya dua orang saja yang dibenarkan membaca khutbah di sini. Tuan Imam dan salah seorang bilalnya. Orang lain tidak dibenarkan oleh Tuan Imam sendiri. Jadilah khutbah itu hak ekslusif Imam yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa saja walaupun memiliki pendidikan agama yang tinggi. Oleh kerana itu saya jadi tawar dengan khutbah yang disampaikan di masjid ini. Selalunya saya datang lewat. Pernah beberapa kali saya sampai sudah iqamah.

Rasa tawar hati bertambah-tambah lagi apabila bulan Ramadan yang lepas, tuan imam membaca khutbah menyeru anak jamaahnya mempertingkatkan amalan di bulan mulia itu. Tetapi bila tiba sepuluh malam terakhir, masjid ditutup dan orang ramai tidak dibenarkan beriktikaf. Sama ada Tuan Imam cakap tak serupa bikin atau dia tidak faham khutbah yang dibacanya. Maklumlah teks khutbah disediakan oleh Majlis Agama Islam Kedah. Khatib sekadar membacanya saja.

"Masjid macam tanah perkuburan," kata seorang teman saya yang tak puas hati kerana haknya untuk beribadah di rumah Allah itu dinafikan. Mana tidaknya. Sudahlah pintu pagar berkunci, lampu pula dipadam. Selepas terawih masjid jadi sepi. Tiada iktikaf, tiada tazkirah, program berbuka puasa pun tiada. Takut kotor.

Di bulan-bulan lain juga, masjid ini kaku tanpa aktiviti pengajian. Manakala surau-surau berhampiran pula yang lebih aktif menyusun aktiviti. Setiap bulan wang kutipan setiap Jumaat mencecah angka ribu, ke mana dihabiskan? Itu duit orang ramai yang sepatutnya manfaatnya dipulangkan kepada mereka.

Sebenarnya bukan dua tiga orang saja yang tidak puas hati, ramai lagi yang serupa kami. Ada yang mencadangkan kepada Tuan Imam supaya menjemput khatib luar, disoalnya balik "Imam di sini tak pandai baca khutbah ka?" Bila ada cadangan supaya mengambil guru-guru untuk kuliah, dijawabnya "saya pun boleh mengajar kitab." Tapi sampai sekarang tak mengajar juga. Alah, kalau setakat nak baca kitab Bimbingan Mukminin, lepasan SPM pun boleh.

Rentetan dari peristiwa-peristiwa itulah menyebabkan saya begitu malas nak dengar khutbah yang dibaca oleh Tuan Imam. Isinya bagus sementelahan disediakan oleh pegawai-pegawai bertauliah di MAIK tetapi kosong pada roh kerana si penyampainya tidak buat apa yang dikatanya.

Firman Allah dari surah as-Saff ayat ke-3 yang bermaksud, "Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." Moga-moga diri tidak termasuk dalam golongan ini.

Ulasan

شاح اندرني berkata…
Salam Uncle... Macam ni pun ade? biar tak betull.. Masjid rumah Allah pun dijadikan rumah sendiri.. apa nak jadi..

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah