Langkau ke kandungan utama

Kabel Telefon Kena Curi.

Sudah 4 hari saya berpisah dengan alam siber. Sepanjang tempoh itu juga saya tidak mengunjungi blog. Ini semua gara-gara kabel telefon di kawasan perumahan saya telah dicuri orang. Bayangkan bagaimana terseksanya jiwa raga saya, di saat yang cukup genting ini saya terputus hubungan untuk mendapatkan berita-berita yang lebih meluas dan terbuka. Nak tengok berita tv?? Atau nak baca akhbar?? Loya lagi meloyakan. Kerana simpatikan akal yang sejahtera ini saya mengenepikan keinginan untuk menonton berita tv setiap jam 8 malam yang selama ini menjadi kegemaran saya.

Kerana itu saya menjadi sangat geram kepada pencuri-pencuri kabel ini. Namun untuk menasihati mereka meninggalkan pekerjaan terkutuk itu hanya menghabiskan masa kita sahaja, melainkan ia datang dari kesedaran diri mereka sendiri. Justeru saya tidak berminat untuk memberi ulasan tentang sikap mereka ini. Saya bukan mangsa pertama mereka dan sudah tentu bukan mangsa terakhir. Saya pasti mangsa-mangsa sebelum saya sudah banyak menyajikan maki hamun dan sumpah seranah tapi sedikit pun tidak menjejaskan aktiviti mereka.

Cuma pengajaran terbaik untuk semua, marilah kita berfikir mengapa kejadian ini terus berlaku. Bukankah negara kita mempunyai undang-undang. Ada polis yang sentiasa mengawasi keselamatan dan keamanan. Negara pula makmur dengan hasil kekayaan. Namun demikian, kerjaya itu yang menjadi pilihan.

Segalanya berpunca dari iman. Pembentukan iman dalam diri insan bukan lagi menjadi keutamaan. Sebaliknya manusia meletakkan kekayaan sebagai piawaian untuk dikategorikan sebagai orang yang berjaya dalam kehidupan. Maka untuk mendapatkan kekayaan, orang akan melakukan apa sahaja asalkan terkabul segala hajat. Tanpa iman manusia tidak sedar akan ada yang sedang memerhatinya. Kerajaan yang sepatutnya memikul tanggungjawab menjana iman rakyatnya langsung mengenepikan kewajipan tersebut. Lihat saja program-program yang dianjurkan. Semuanya berkaitan dengan hiburan dan aktiviti yang melekakan khususnya golongan remaja yang bakal mewarisi negara. Justeru kita yang dewasa ini patutlah memikirkan keadaan masa depan negara kita. Apakah masih relevan kita meletakkan kepercayaan kepada orang yang sama untuk menerajui negara dan memimpin rakyat jelata. Kerana selepas 50 tahun merdeka, rakyat semakin lupa kepada peranannya sebagai hamba Allah dan dalam masa yang sama tiada langsung peringatan untuk mengembalikan rakyat ke jalan yang diredai Allah. Sebaliknya jika ada pihak yang mengambil inisiatif ini, pasti dipandang sinis. Kononnya jumud dan kembali ke zaman lampau. Agama hanya dibicarakan di tempat-tempat dan waktu-waktu tertentu. Kekadang pula menjadi alat untuk menarik sokongan rakyat. Kesimpulannya, dari kes kecurian kabel hinggalah rompakan wang 1 juta dari van keselamatan tempoh hari semuanya berpunca dari kegagalan mendidik rakyat mengenali Rabbnya.

Malam ini saya mengambil kesempatan dari kunjungan ke rumah ibu, dapat saya mengemaskini blog di samping menziarahi adik beradik dan teristimewa buat adik saya dan isterinya yang baru menimang cahaya mata pertama. Tahniah. Bapa saya....... sudah beberapa hari tak balik ke rumah.

Alhamdulillah, dapat juga saya melepaskan gian saya melayari internet.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...

Asalnya Wahhabiyah

TIADA PERKAITAN DENGAN ANTARA AL-WAHHABIYAH AL-RUSTUMIAH (ABDUL WAHAB BIN ABDUL RAHMAN BIN RUSTUM) DENGAN GERAKAN REFORMASI DAKWAH SHEIKH MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB Tulisan Dr Muhammad Bin Saad Al-Syuwai'ir Ketua Pengarang Majalah Al-Buhuth Al-Islamiyah Konflik yang berlaku ke atas dakwah Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab telah memberi ruang untuk penjenamaan kepada label " al-Wahhabiyah" sebagai tohmahan melulu kepadanya. Sebagaimana perkara ini telah digerakkan oleh beberapa puak Tarekat Sufi untuk kemaslahatan mereka bagi mengaburi mata orang awam. Perbuatan tersebut juga memberi kelebihan kepada musuh Islam yang sentiasa memerhatikan dan memastikan umat Islam diperkotak-katikan. Mereka menanam benih-benih kejahatan dan perselisihan di antara sesama Islam. Kerana mereka begitu mengerti akan bakal dibuat oleh cerdik pandai ini dan cuba mengembangkannya. Isu ini sering kali telah diperkatakan dan selalu ditulis dalam pelbagai makalah. Apa yang menjadi dorongan kep...