Sejak sekolah dibuka selepas cuti persekolahan pertengahan semester pada 20hb. Mac yang lalu, keberadaan saya bersama murid-murid dalam kelas boleh dikira dengan jari.
Pada minggu pertama persekolahan, sekolah menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Bola Sepak MSSD Bawah 12 Tahun peringkat PKG bermula 23 Mac dan berakhir besoknya. Saya terlibat sepenuhnya sebagai pegawai pasukan merangkap salah seorang pegawai kejohanan. Bayangkan kesibukan saya bukan pada hari tersebut sahaja tetapi sejak sehari atau dua hari sebelum itu.
Minggu seterusnya atau lebih tepatnya hari Isnin 28hb sekolah menjadi tuan rumah bagi Karnival Ko Kurikulum Pendidikan Islam peringkat PKG. Tugas saya menyelaraskan tempat-tempat yang akan digunakan untuk acara-acara yang dipertandingkan. Sehari sebelumnya saya dah berpeluh sampai keting.
Selasa 29hb, saya menghadiri taklimat dan bengkel untuk para hakim Karnival Ko Kurikulum Pendidikan Islam Peringkat daerah. Rabu 30hb saya berada di padang semula sebagai jurulatih bola sepak bagi memilih pemain-pemain yang akan mewakili PKG ke peringkat daerah.
Khamis 30hb, saya kembali ke sekolah. Kesempatan ini saya gunakan untuk menguji PAFA. Alhamdulillah semua kelas yang saya masuk berjaya diselesaikan. Petang itu juga saya ke SMK Agama Baling untuk mengambil anak saya yang belajar di situ. Manakala petangnya ada program 1 Murid 1 Sukan. Jumaat dan Sabtu cuti.
Ahad 3hb, saya dan rakan-rakan seramai 10 orang yang dilantik oleh MGB zon KK sebagai pegawai pasukan bola sepak Bawah 12 Tahun PKG KK memulakan sesi latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan peringkat daerah. Latihan bermula jam 8.00 pagi dan berakhir 11.30 pagi bagi sesi pagi. Sesi petangnya bermula jam 3 dan berakhir jam 5.30 petang. Begitulah jadual pada hari-hari seterusnya.
Isnin 4hb pula saya berpakaian sut Melayu lengkap kerana pada hari itu saya menjadi juri acara Kuiz Agama dalam Karnival Ko Kurikulum Pendidikan Islam peringkat daerah. Itu disebelah pagi. Pada petangnya saya terpacak di tepi padang semula.
Esoknya Selasa, Rabu dan Khamis rutinnya seperti pada hari Ahad. Kecuali hari Khamis kami sepakat memberi cuti kepada pelatih-pelatih pada sebelah petangnya.
Jumaat 8hb, saya bercuti separuh hari. Pelikkan? Orang bekerja separuh hari tapi saya pula bercuti separuh hari. Petang itu kami ada perlawanan persahabatan dengan Kenari Kids. Jam 10 pagi saya sudah ke sekolah mengambil beberapa pemain dan berehat di rumah saya sementara menunggu waktu perlawanan. Selepas makan dan bersolat Jumaat, kami bergerak ke padang Honda Hicom tempat perlawanan bakal diadakan.
Permainan berakhir jam 7.15 petang. Saya bergegas menghantar mereka ke rumah masing-masing. Perjalanan mengambil masa 45 minit. Sebelum pulang saya singgah untuk bersolat maghrib kerana kalau saya tunda untuk bersolat di rumah, jawabnya tak sempat. Selesai solat saya bergerak pulang dan sampai lebih kurang jam 9.15 malam. Saya terus ke dapur mencari nasi.
Kesibukan belum berakhir. Hari ini, pagi lagi saya sudah bergerak keluar membawa anak ke-3 saya ke program motivasi di sekolahnya. Tidak berakhir di situ, saya bergegas ke Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani, Tikam Batu menghadiri Mesyuarat Agung PAS Kawasan Sungai Petani selaku perwakilan. Tahun ini ada pertandingan. Lebih menarik apabila ayahanda YB Tn Haji Abdullah b. Jusoh dicabar untuk jawatan YDP. Saya tidak sempat menunggu sehingga akhir kerana melawat anak di SMKA Baling. Berita yang saya dengar, ayahanda berjaya mempertahankan jawatannya. Pulang dari melawat, saya dan isteri singgah mengambil seorang lagi anak kami yang seharian mengikuti program motivasi. Kami sampai di rumah ketika azan maghrib berkumandang. Malam ini saya mahu berehat. Hajat awalnya mahu menyiapkan analisis keseluruhan Ujian PKBS 1, saya tangguhkan kerana saya perlu cas semula bateri yang semakin melemah.
Esok hari Ahad. Bermulalah Kejohanan Bola Sepak MSSK peringkat daerah selama tiga hari. Debarannya sudah dirasai, tapi saya simpan dulu debar itu.
Hari Rabu ini saya akan kembali ke sekolah semula. Tapi hari Khamis saya keluar lagi. Kali ini sebagai Pengurus pasukan bola baling.
Begitulah serba sikit cerita saya kali ini. Maaflah kalau ada yang kurang senang, beralih saja dari blog ini. Saya sekadar ingin berkongsi. Nasihat dari bijak pandai, kalau rasa tertekan luahkan saja. Orang nak dengar atau tak mahu dengar, itu nombor dua. Insya Allah rasa terbeban akan kurang sedikit.
Itu yang saya cuba lakukan.
Ulasan