Langkau ke kandungan utama

Lega

  1. Alhamdulillah. Tugasan menyampaikan khutbah Jumaat kepada ahli kariah Amanjaya Zon Kenanga dan Zon Mawar dapat dilaksanakan dengan izin Allah.
  2. Dua minggu lepas saya diminta oleh pengerusi surau al-Muhtadin merangkap AJK Penaja kariah mengambil tanggungjawab ini bagi mewakilli jamaah surau al-Muhtadin.
  3. Sejak surau al-Muhtadin dibenarkan mengadakan solat Jumaat bermula Mei lalu sementara menantikan masjid yang akan dibina sedikit masa lagi, ini kali pertama giliran saya membaca khutbah.
  4. Malah ia juga kali pertama bagi saya membaca khutbah pada hari Jumaat sepanjang umur saya yang sudah mencecah 40-an.
  5. Maka saya perlu membuat persiapan rapi.
  6. Sepanjang dua minggu saya berusaha menyiapkan teks khutbah.
  7. Pagi tadi saya membuat semakan terakhir bagi memastikan penyampaian saya benar-benar meninggalkan kesan untuk mereka yang mendengarnya.
  8. Tidak sekadar itu, saya juga mempersiapkan fizikal dan mental agar lebih bersedia berhadapan dengan audiens yang akan memenuhi setiap inci ruang surau al-Muhtadin.
  9. Saya berjoging sejauh 4km dan senaman perut dalam tempoh 45 minit untuk menjaga stamina. Mana tahu nanti semput pula atas mimbar.
  10. Tata rias juga perlu dirapikan. Jambang yang sedia nipis, dinipiskan lagi. Bulu-bulu di muka yang tumbuh meliar dicukur. Muka juga dicuci menggunakan sabun pencuci muka. Tidak lupa memotong kuku yang menjadi kelaziman pada setiap pagi Jumaat.
  11. Akhir sekali sebelum kaki melangkah keluar, saya memilih jubah potongan ala Sudan berwarna biru air laut untuk disarung ke tubuh.
  12. Sempat saya menatap penampilan diri di cermin sehingga saya benar-benar yakin dapat menarik perhatian setiap mata yang memandang.
  13. Tibalah waktu yang ditunggu. Dengan hati penuh debar kaki saya memijak mimbar. Dan dengan pertolongan Allah segala-galanya berjalan dengan lancar.
  14. Berulang kali saya berdoa memohon petunjuk selain dipermudahkan urusan yang diamanahkan. Tidak lupa juga doa supaya dicekalkan hati andainya menerima respon dari rakan-rakan.
  15. Kalau pujian yang datang, saya mohon perlindungan dari perasaan ujub, riak dan sombong. Andai cemuhan yang datang, saya memohon perlindungan dari rasa dukacita, kecewa dan terus mengalah. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se