Langkau ke kandungan utama

Doa

Satu pagi di warung kopi Aris. Wan dan Haji Jumat duduk berbual sambil minum kopi dan makan roti canai telur cicah kari ikan kembung buatan isteri Aris yang menjadi kegemaran mereka bedua. Bermula dari topik nasional hingga ke isu tempatan, cawan kopi pun dah tiga kali bertukar. Jam sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi. Haji Jumat minta diri untuk beredar kerana isteri di rumah menyuruhnya ke kedai membeli barang dapur. Tiba-tiba Wan(W) menahannya sambil berbisik: Ada cerita panas.

Hj. Jumat(HJ): Cerita apa?

W: Duduk dulu, jangan balik lagi.

HJ: Nanti bini aku bising pula, pukul 11 belum bawa balik barang lagi.

W: Tak mau dengar tak pa la.

HJ: Ok lah, sekejap je tau. Cerita apa?

W: Orang kaya Johan dah jatuh bankrap. Habis segala hartanya dilelong. Tinggal Proton Iswara cabuk saja. Dengar cerita lagi, anak-anaknya yang belajar di luar negeri pun telah dipanggil pulang. Padan muka dia.

HJ: Issyy, tak baik cakap macam tu!

W: Apasal pulak? Manusia kedekut lagi bakhil macam dia tu patut dapat balasan Tuhan. Haji tak ingat ke, masa Tok Imam minta sumbangan dia nak ‘renovate’ surau dulu. Berapa dia bagi? Hampeh!! Nak minta derma anak-anak yatim, fakir miskin, macam-macam dalih dia. Sekarang ni ni puas hati aku. Aku selalu berdoa bagi dia bankrap. Allah dah makbulkan doa aku.

HJ: Hang ni la, daripada berdoa bagi dia jatuh bankrap, bukankah lebih baik hang berdoa bagi dia jadi orang yang suka bersedekah dan menolong orang-orang yang memerlukan. Semua pakat boleh merasa. La dia dah bankrap, tak dak peluang lagi orang kampung nak tumpang senang.

W: Alah, orang macam dia tu boleh berubah ka?

HJ: Tapi Allah boleh ubah sesiapa yang dikehendakiNYA.

W: Macam mana Allah nak ubah, kalau dia sendiri tak mahu berubah.

HJ: Eh, bukankah doa hang dimakbulkan Allah. Hang berdoa la banyak-banyak. La ni hang balik rumah, berdoa supaya Allah bagi Johan jadi kaya pula dan minta supaya Allah bagi hidayah kat dia. Moga-moga lepas ni berkat doa hang, Johan akan jadi orang kaya yang suka tolong susah macam kita ni.

W: Amboi haji. Berbahasa nampak. Tadi aku saja kata. Belum tentu si Johan jadi bankrap kerana doa aku.

HJ: Pulak daahhh! Tadi bukan main lagi, doa dimakbul. Aku baru nak suruh hang tolong doakan aku bagi cepat kaya.

W: Alah haji ni. Nak gosip-gosip sikit pun tak boleh. Lain kali tak mau cerita apa kat Haji.

HJ: Merajuk la tu. Aku bukan apa, cuma nak bagi ingat. Nak bercakap tu, berlapik la sikit. Aku pi kedai dulu.

Wan sempat menjeling arah motor Haji Jumat sebelum dia sendiri mengangkat punggung mahu beredar dari kedai. Sambil kaki melepaskan tongkat motor, dia menoleh ke arah Aris dan berteriak, “masuk buku 555, kopi aku saja tau! Haji Jumat punya hang minta kat dia”

::Nama dan watak adalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena-mengena dengan yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Jika ada, itu hanyalah kebetulan sahaja. Harap maklum.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah